Protes belia Nepal, keluarga mangsa harap perubahan politik

Foto REUTERS

KATHMANDU, 3 Mac – Harapan keluarga mangsa yang terbunuh dalam tempoh dua hari protes belia menentang rasuah dan pengangguran di Nepal pada September lalu, berharap agar pilihan raya yang dijadual Khamis ini dapat membangkitkan semula harapan rakyat terhadap perubahan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga mangsa mahu pilihan raya memacu perubahan politik dan keadilan selepas kehilangan ahli keluarga dalam protes antirasuah.
  • Tuntutan agar pihak berkuasa bertanggungjawab, termasuk siasatan terhadap penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.
  • Janji pampasan separa diberikan, tetapi bantuan pekerjaan, sokongan perubatan dan pencen masih belum dipenuhi.

Dalam kejadian tersebut, seramai 77 orang maut, termasuk pelajar berusia 23 tahun, Rashik Khatiwada, yang ditembak mati dua jam selepas menyertai himpunan yang memaksa peletakan jawatan Perdana Menteri ketika itu, K.P. Sharma Oli.

Gelombang ketidakpuasan hati turut melonjakkan sokongan terhadap tokoh luar seperti Balendra Shah, 35, yang kini antara pencabar utama jawatan perdana menteri dan menyertai Parti Rastriya Swatantra (RSP) pada Januari lalu.

Menurut ibu Rashik, Rachana Khatiwada, kematian berkenaan meninggalkan kesan mendalam kepada keluargannya.

“Kami mengundi Parti Kongres dan Parti Komunis, tetapi mereka membunuh anak-anak kami yang tidak bersalah. Mereka hanya berdiri membawa plakad menuntut pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah.

“Mereka tidak menuntut kuasa atau jawatan. Protes mereka semata-mata untuk menuntut keadilan,” luahnya yang menuntut perubahan menjelang pilihan raya nanti.

Dalam pada itu, suruhanjaya siasatan mengenai penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan diberikan tiga lanjutan tempoh, dengan laporan akhir dijangka selepas pilihan raya.

Kerajaan sementara telah membayar pampasan 1.5 juta rupee kepada keluarga 42 mangsa yang diisytiharkan syahid, namun perjanjian bantuan pekerjaan, sokongan perubatan dan pencen masih belum ditunaikan.-REUTERS