
ROM, 3 Mac – Penerbangan sewa khas pertama membawa 127 rakyat Itali yang terkandas di Oman, atau dipindahkan ke negara itu dari Dubai, selamat tiba di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom.
- Penerbangan sewa khas pertama pulangkan 127 rakyat Itali yang terkandas di Oman dan Dubai ke Lapangan Terbang Fiumicino, Rom.
- Itali menyelaraskan pemindahan melalui kedutaan dan konsulat Abu Dhabi, Dubai dan Oman bagi membawa pulang warganya.
- Beberapa pembatalan penerbangan dan langkah keselamatan dipertingkat di Fiumicino, termasuk pasukan anjing pengesan dan tentera.
Operasi itu dilaksanakan ketika Itali berusaha membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran serta peningkatan ketegangan di rantau berkenaan.
Kementerian Luar Itali dalam satu kenyataan memaklumkan, kedutaan dan konsulat di Abu Dhabi, Dubai dan Oman sedang menyelaras pemindahan rakyat Itali ke lapangan terbang yang masih beroperasi di rantau itu.
Menurut pihak berkuasa lapangan terbang, daripada kira-kira 800 penerbangan harian, sebanyak 45 perkhidmatan dibatalkan menyebabkan ratusan penumpang terkandas.
Langkah keselamatan di Fiumicino turut dipertingkat, khususnya membabitkan penerbangan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel, dengan pasukan anjing pengesan serta anggota tentera menjalankan rondaan di terminal.-REUTERS