
AMMAN, 26 Oktober- Pihak berkuasa Jordan menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam serangan bersenjata di Gereja Ortodoks Greek di Karak, pada Jumaat, yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 25 yang lain.
- Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu Gereja St George di Hammoud, Karak semasa upacara pengebumian, lalu melepaskan tembakan.
- Menteri Dalam Negeri Mazen Al-Faraya berkata tindakan akan diambil dan punca ekstremisme dalam kalangan belia sedang disiasat.
- Raja Abdullah II tekankan keselamatan tidak boleh dikompromi, dan pelaku serangan akan dibawa ke muka pengadilan.
- Perdana Menteri Jafar Hassan isytiharkan tiga hari berkabung; bendera kerajaan dan institusi awam dikibarkan separuh tiang.
Menurut laporan televisyen Kerajaan Jordan, Al-Mamlaka pada Isnin, ketiga-tiga suspek ditahan dalam satu serbuan.
Kesemua suspek turut dilaporkan cedera dalam pertempuran bersenjata ketika serbuan berkenaan dijalankan.
Menurut pihak berkuasa Jordan, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu kawasan Gereja St George di perkampungan Hammoud, wilayah Karak, ketika upacara pengebumian pada Jumaat sebelum melepaskan tembakan.
Menteri Dalam Negeri Jordan, Mazen Al-Faraya berkata tindakan akan diambil terhadap semua pihak yang didapati terlibat.
“Kami sudah menahan mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu. Kami sedang meneliti semua faktor yang mendorong golongan muda itu ke arah ekstremisme dan akan meminta pertanggungjawaban semua pihak yang didapati terlibat,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Isnin.
Raja Jordan, Raja Abdullah II sebelum ini menegaskan bahawa keselamatan rakyat Jordan tidak boleh dikompromi dan pihak yang bertanggungjawab atas serangan itu akan dibawa ke muka pengadilan.
Perdana Menteri, Jafar Hassan pula mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula Jumaat, dengan bendera dikibarkan separuh tiang di bangunan kerajaan dan institusi awam.
Pada Ahad, lapan daripada sembilan mangsa dikebumikan berhampiran gereja berkenaan dalam upacara yang dihadiri orang ramai dan pemimpin agama. -AFP