Lebih 60 penunjuk perasaan ditahan bantah perang Iran

Protes terhadap perang Iran di dalam bangunan pejabat Kongres di Washington DC/ REUTERS

WASHINGTON, 21 April Puluhan veteran tentera Amerika Syarikat serta ahli keluarga anggota tentera ditahan selepas mengadakan protes terhadap perang Iran di dalam bangunan pejabat Kongres di Washington DC pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan About Face mengadakan upacara melipat bendera, berarak dan melaungkan slogan bantah di Bangunan Pejabat Cannon.
  • Peserta mendesak Kongres menghentikan tindakan Presiden Trump dan mempersoalkan kegagalan wakil rakyat menjalankan tanggungjawab mereka.
  • Veteran menekankan kesan panjang perang: kehilangan nyawa, kecederaan, PTSD dan kecederaan moral yang memberi impak kepada keluarga.

Penunjuk perasaan merupakan sebahagian daripada kumpulan About Face, mengadakan upacara melipat bendera di Bangunan Pejabat Cannon sebelum berbaris dan melaungkan slogan bantahan.

Lebih 60 daripada kira-kira 150 penunjuk perasaan ditahan selepas mereka diarahkan bersurai oleh Polis Capitol, namun protes berterusan.

Salah seorang peserta, Jessica Serrato, yang pasangannya kini bertugas di luar negara, berkata kumpulan itu berharap agar Kongres Amerika Syarikat dapat menghentikan perang yang menurut mereka dimulakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Mereka mempunyai kuasa untuk menghentikan tindakan Trump yang melulu. Mereka ada kuasa itu, tetapi saya tidak faham apa sebenarnya yang mereka lakukan,” kata Jessica Serrato yang datang dari California.

Seorang lagi peserta, Christina Sarson, veteran tentera dari Pennsylvania berkata beliau hadir demi anak-anaknya.

“Sebagai veteran, saya tahu kesan buruk peperangan terhadap orang awam dan juga anggota tentera. Saya bercakap tentang kehilangan nyawa, kecederaan dan kehidupan yang berubah selama-lamanya.

“Saya juga bercakap mengenai trauma seperti gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) dan kecederaan moral, sebab itu saya berada di sini hari ini,” katanya.

Beliau menambah, pengalaman dari perang di Iraq dan Afghanistan menunjukkan konflik yang bermula dalam tempoh singkat boleh berlarutan selama bertahun-tahun.

“Anak-anak saya berusia 11 dan 13 tahun, tetapi kita tahu daripada pengalaman di Iraq dan Afghanistan, perang yang bermula sebulan boleh menjadi enam bulan, enam tahun, malah satu dekad. Saya dapat melihat hala tuju ini.

“Kita pernah dengar janji dan alasan sama seperti perang Iraq dahulu, dan kini ia diulang untuk mewajarkan kehadiran di Asia Barat. Kami tidak mudah terpedaya, kami sebagai veteran lebih memahami,” katanya.

Jessica Serrato turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan mental yang dialami anggota tentera yang sedang bertugas.

“Kesan mental yang ditanggung mereka amat berat. Kita tidak mampu berbuat apa-apa selain memberi sokongan dari jauh. Itulah sebabnya kami berada di sini, untuk menyokong mereka,” katanya.

Jessica Serrato turut mempersoalkan tindakan Kongres yang didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya.

“Kongres yang meluluskan perkara ini, tetapi di manakah mereka? Mereka mempunyai kuasa untuk menghentikan tindakan Trump.

“Kami terpaksa datang dari California untuk mendesak mereka menjalankan tanggungjawab, tetapi mereka masih tidak berbuat apa-apa,” katanya.- REUTERS