Jepun mansuhkan sekatan eksport senjata, buka peluang pasaran global

Pameran peralatan ketenteraan Jepun/ REUTERS

TOKYO, 21 April Jepun pada Selasa mengumumkan rombakan terbesar dalam peraturan eksport pertahanan dengan memansuhkan sekatan terhadap penjualan senjata ke luar negara serta membuka laluan kepada eksport kapal perang, peluru berpandu dan kelengkapan ketenteraan lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah dilihat memperkukuh asas industri pertahanan Jepun dan menandakan pergeseran dari dasar pasifis pasca-Perang Dunia Kedua.
  • Konflik di Ukraine dan Asia Barat menekan pengeluaran senjata AS, membuka peluang pasaran global buat pengeluar Jepun.
  • Sekutu Washington mempelbagaikan sumber bekalan; beberapa negara seperti Poland dan Filipina meneroka perolehan dari Jepun.
  • Kerajaan memansuhkan lima kategori eksport lama namun mengekalkan tiga prinsip kawalan dengan pengecualian untuk kepentingan keselamatan.

Langkah berkenaan dilihat sebagai ruang memperkukuh asas industri pertahanan Jepun selain bertindak sebagai perubahan daripada dasar pasifis yang membentuk polisi keselamatan negara itu sejak tamat Perang Dunia Kedua.

Konflik di Ukraine dan Asia Barat turut memberi tekanan kepada pengeluaran senjata Amerika Syarikat, sekali gus mewujudkan peluang lebih luas kepada Jepun.

Pada masa sama, sekutu Washington di Eropah dan Asia kini berusaha mempelbagaikan sumber bekalan susulan ketidaktentuan komitmen keselamatan di bawah pentadbiran Presidan Amerika Syarikat Donald Trump.

Menurut pegawai dan diplomat Jepun beberapa negara termasuk Poland dan Filipina sedang meneroka peluang perolehan ketika mereka memodenkan angkatan tentera masing-masing.

Menurut sumber, antara perjanjian awal yang berpotensi dimeterai ialah eksport kapal perang terpakai ke Manila.

Perubahan yang diluluskan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi itu memansuhkan lima kategori eksport yang sebelum ini mengehadkan kebanyakan jualan ketenteraan kepada peralatan penyelamatan, pengangkutan, amaran, pengawasan dan penyahkawanan periuk api.

Jepun bagaimanapun akan mengekalkan tiga prinsip eksport yang menekankan saringan ketat, kawalan pemindahan kepada pihak ketiga serta larangan penjualan kepada negara yang terlibat dalam konflik. Namun, kerajaan memaklumkan pengecualian boleh diberikan sekiranya dianggap perlu demi kepentingan keselamatan negara.- REUTERS