Enam cedera selepas gempa 7.7 magnitud landa Jepun

Papan tanda elektronik di Bandar Ofunato, Wilayah Iwate memaparkan notis “Amaran Gegaran Susulan Hokkaido dan Luar Pesisir Pantai Sanriku” yang disiarkan pada 21 April 2026/ AFP

TOKYO, 21 April – Sekurang-kurangnya enam orang dilaporkan cedera pada Selasa, sehari selepas gempa kuat menggegarkan utara Jepun, namun tiada kerosakan besar dilaporkan daripada kejadian tersebut yang turut mencetuskan ombak tsunami setinggi 80 sentimeter (31 inci).

RINGKASAN BERITA AI
  • Gempa magnitud 7.7 berlaku di perairan Lautan Pasifik berhampiran Wilayah Iwate, utara Jepun.
  • JMA memberi amaran peningkatan kebarangkalian berlakunya gempa besar berskala 8.0 atau lebih.
  • Gegaran begitu kuat sehingga menggoncang bangunan tinggi di Tokyo, ratusan kilometer dari pusat gempa.
  • Amaran tsunami sehingga tiga meter dikeluarkan kemudian ditarik balik; gelombang kecil dilaporkan, dan lebih 182,000 penduduk diberi arahan pemindahan tidak wajib.

Bagaimanapun, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko gempa bumi besar atau ‘megaquake’ iaitu gegaran dengan magnitud 8.0 atau lebih, beberapa jam selepas gempa bermagnitud 7.7 yang berlaku di perairan Lautan Pasifik berhampiran Wilayah Iwate di utara Jepun.

Gegaran tersebut dilaporkan begitu kuat sehingga menggegarkan bangunan besar di ibu negara Tokyo, yang terletak ratusan kilometer dari pusat gempa.

Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana (FDMA), enam orang cedera setakat pukul 8.00 pagi, dengan dua daripadanya dilaporkan kritikal. Tiada kebakaran atau kerosakan pada kemudahan penting dilaporkan setakat ini.

Pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami dengan jangkaan ombak setinggi tiga meter, namun ia ditarik balik beberapa jam selepas ombak setinggi 80 sentimeter melanda pelabuhan Kuji di Iwate, selain beberapa ombak kecil lain di utara Jepun.

JMA memaklumkan bahawa kebarangkalian berlakunya gempa besar baharu adalah lebih tinggi berbanding keadaan biasa. Pihak berkuasa tempatan di kawasan terjejas turut mengeluarkan arahan pemindahan tidak wajib kepada lebih 182,000 penduduk.

Negara kepulauan dengan kira-kira 125 juta penduduk itu biasanya mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun, merangkumi kira-kira 18 peratus daripada jumlah gempa bumi dunia. Sebahagian besar gegaran adalah lemah, namun kesannya bergantung kepada lokasi dan kedalaman pusat gempa.

Jepun masih dihantui tragedi gempa bawah laut bermagnitud 9.0 pada 2011 yang mencetuskan tsunami besar, mengorbankan atau menghilangkan kira-kira 18,500 orang serta menyebabkan kebocoran teruk di loji nuklear Fukushima.- AFP