Lapan negara kecam Israel tolak pelan tamatkan perang Gaza

Penduduk Gaza bergantung kepada bantuan makanan bagi memenuhi keperluan berikutan serangan tentera zionis terus berlarutan./ REUTERS

ISTANBUL, 17 Ogos – Lapan negara mengecam keputusan Israel menolak pelan hala tuju bagi melengkapkan pelaksanaan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan konflik di Gaza, dengan menyifatkan tindakan itu menjejaskan usaha mencapai keamanan berkekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penolakan Israel menjejaskan pelaksanaan pelan komprehensif dan melemahkan usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.
  • Israel dipersalahkan menghalang usaha keamanan; AS mesti terus terlibat secara aktif untuk memastikan kepatuhan terhadap komitmen yang dipersetujui.
  • Pelaksanaan segera pelan diperlukan untuk menangani krisis kemanusiaan, penarikan tentera, penempatan pasukan penstabil, dan pembinaan semula Gaza serta penyelesaian dua negara.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Luar Türkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam penolakan Israel terhadap pelan berkenaan, termasuk pendiriannya yang menolak penubuhan negara Palestin.

Mereka berkata pendirian Israel itu merupakan “penolakan secara langsung” terhadap Pelan Komprehensif Trump untuk Menamatkan Konflik Gaza, yang disahkan menerusi Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut mereka, penolakan Israel menjejaskan pelaksanaan pelan berkenaan dan secara asasnya melemahkan usaha bersama untuk mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.

“Penolakan itu mengesahkan bahawa Israel kini bertanggungjawab menghalang usaha membawa keamanan di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki,” menurut kenyataan itu.

Menteri-menteri berkenaan berkata pelan hala tuju yang diterima kumpulan Palestin itu terhasil daripada usaha berterusan pihak pengantara termasuk Mesir, Qatar, Türkiye dan AS, bersama Wakil Tinggi Gaza serta Lembaga Keamanan.

Pelan itu dilihat sebagai langkah penting ke arah pelucutan senjata, pengunduran tentera Israel, penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa, pemindahan kuasa pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza serta usaha pembinaan semula wilayah berkenaan.

Mereka memberi amaran bahawa penolakan pelan itu merupakan keengganan jelas untuk meneruskan pelaksanaan rancangan Trump dan boleh menggagalkan usaha AS menamatkan perang serta mewujudkan keadaan bagi keamanan berkekalan.

Lapan negara itu turut menegaskan pentingnya penglibatan AS yang berterusan dan aktif bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya komitmen serta aturan yang dipersetujui di bawah rancangan dan pelan hala tuju berkenaan.

Mereka berkata Israel akan memikul “tanggungjawab langsung dan penuh” terhadap sebarang kesan akibat penolakan, halangan, kelewatan atau ketidakpatuhan berterusan, termasuk kemerosotan keadaan di lapangan atau gangguan terhadap usaha menamatkan perang di Gaza.

Kenyataan itu turut menggesa pelaksanaan penuh dan segera rancangan berkenaan bagi menangani keadaan kemanusiaan di Gaza, menjamin keselamatan dan kestabilan serta membuka laluan kepada pembinaan semula dan pemulihan.

Menteri-menteri tersebut menegaskan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mendirikan negara, selain menolak sebarang usaha untuk menghalang penubuhan negara Palestin melalui tindakan unilateral.

Mereka berkata keamanan yang adil, berkekalan dan menyeluruh hanya boleh dicapai melalui pelaksanaan penyelesaian dua negara, termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Mereka turut menekankan kepentingan peranan berterusan Lembaga Keamanan dan menggesa semua pihak menyokong usaha melaksanakan pelan hala tuju serta memajukan fasa kedua rancangan Trump.

Mereka menggesa lembaga itu, dengan sokongan dan penglibatan aktif AS, mengambil “langkah segera dan konkrit” dalam bidang kuasanya bagi memastikan pelan tersebut terus dilaksanakan dan menghalang mana-mana pihak daripada menggagalkan pelaksanaannya. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.