
MELBOURNE, 16 April – Pasukan kecemasan bertungkus-lumus mengawal kebakaran besar yang melanda Unit MOGAS di kilang penapis minyak Viva Energy di Geelong awal pagi Khamis,
- Kilang membekalkan kira-kira 10% keperluan bahan api negara dan lebih 50% untuk Victoria, mencetuskan kebimbangan bekalan.
- Pasukan penyelamat lapor siri letupan; kebakaran berjaya disekat daripada merebak ke luar kawasan loji.
- Semua kakitangan dikesan tanpa kecederaan; syarikat kata tiada kesan segera terhadap bekalan bahan api.
Insiden yang dilaporkan pada pukul 11 malam (waktu tempatan) itu mencetuskan kebimbangan mengenai kestabilan bekalan bahan api memandangkan kemudahan tersebut membekalkan kira-kira 10 peratus keperluan bahan api negara dan lebih 50 peratus bagi negeri Victoria.
Menurut kenyataan Pasukan penyelamat Victoria (FRV), pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima pelbagai laporan mengenai siri letupan dan api yang menjulang di loji tersebut.
“Kebakaran masih belum terkawal sepenuhnya namun ia berjaya disekat daripada merebak ke luar kawasan loji,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa kebakaran tersebut melibatkan bahan api cecair dan gas.
Pihak berkuasa dan pengurusan Viva Energy mengesahkan bahawa semua kakitangan di loji berkenaan telah berjaya dikesan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.
Syarikat turut menyatakan bahawa buat masa ini “tiada kesan segera” terhadap bekalan bahan api susulan insiden itu.
Kilang penapis minyak yang mempunyai lebih 1,100 kakitangan itu beroperasi sejak 1954 dan memiliki kapasiti memproses sehingga 120,000 tong minyak sehari bagi menghasilkan petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), serta bahan api penerbangan.
Insiden itu berlaku hanya seminggu selepas Viva Energy memeterai perjanjian dengan kerajaan Australia untuk mengukuhkan jaminan bekalan bahan api tambahan susulan krisis di Asia Barat.
Ketua Eksekutif Viva Energy, Scott Wyatt, sebelum ini menegaskan bahawa pasukan mereka bekerja tanpa henti bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan api buat pengguna, sektor pertanian dan perniagaan di tengah-tengah perkembangan pasaran global yang mencabar. REUTERS