
COPENHAGEN, 16 April– Seramai 4.2 juta penduduk dunia bakal hilang tempat tinggal menjelang akhir tahun 2027 akibat peperangan, konflik, keganasan dan penganiayaan, lapor sebuah agensi bantuan kemanusiaan Denmark pada Khamis.
- Peperangan di Asia Barat memburukkan lagi keadaan dan terus memacu gelombang pelarian baharu.
- Krisis perpindahan kini semakin tersebar merentasi lebih banyak negara, bukan tertumpu kepada beberapa krisis besar.
- Pemotongan dana bantuan antarabangsa menyusutkan jaring keselamatan kemanusiaan dan memperburuk keadaan keluarga pelarian.
- Terdapat lonjakan 14 peratus keganasan terhadap orang awam tahun lalu dan masyarakat antarabangsa gagal melindungi golongan terdedah.
Majlis Pelarian Denmark (DRC) dalam unjuran tahunannya menjelaskan, angka berkenaan tidak termasuk mereka yang melarikan diri akibat situasi semasa di Asia Barat memandangkan unjuran tersebut dibuat berdasarkan data yang tersedia sehingga akhir tahun 2025.
Menurut DRC, pertambahan 4.2 juta itu akan merumitkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada.
Seramai 117.3 juta orang telah pun hilang tempat tinggal di seluruh dunia.
Setiausaha Agung DRC, Charlotte Slente, dalam satu kenyataan berkata peperangan di Asia Barat ketika ini memburukkan lagi keadaan dan terus memacu gelombang pelarian baharu.
“Terdapat jalan penyelesaian untuk menarik rantau ini daripada terus terjerumus ke kancah krisis: gencatan senjata sedia ada mesti menjadi kekal dan diperluas ke Lubnan, yang menyaksikan satu daripada lima penduduknya telah hilang tempat tinggal akibat konflik.
“Keluarga di Lubnan dan Iran mesti dibenarkan pulang ke rumah untuk membina semula kehidupan mereka dalam suasana aman,” katanya.
Laporan itu turut menarik perhatian bahawa krisis perpindahan penduduk kini semakin tersebar merentasi lebih banyak negara, berbanding beberapa krisis besar yang tertumpu di kawasan tertentu pada masa lalu.
Pada 2025, Myanmar dan Sudan sahaja menyumbang lebih separuh daripada jumlah unjuran keseluruhan, namun dalam unjuran terbaharu, kedua-dua negara itu kini mewakili satu perempat daripada jumlah keseluruhan.
DRC turut mendedahkan bahawa pemotongan dana bantuan antarabangsa memberi impak langsung kepada peningkatan jumlah pelarian.
Slente menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa kini berdepan kegagalan besar dalam melindungi golongan paling terdedah di dunia, selain menyatakan berlaku lonjakan 14 peratus dalam keganasan terhadap orang awam pada tahun lepas.
“Bagi keluarga yang melarikan diri daripada peperangan sehelai sepinggang, harapan mereka semakin tipis memandangkan ‘jaring keselamatan’ antarabangsa yang pernah wujud kini semakin mengecil akibat penyusutan bantuan kemanusiaan,” tambahnya.