Medan Niaga Kampung Melayu Majidi jadi projek rintis

Lawatan MB Johor ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidi / Foto ihsan FB Majlis Bandaraya Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 15 Mei – Kerajaan negeri melaksanakan projek rintis di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru menerusi pengenalan Baucar Kasih Johor bernilai 200 ringgit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memberi manfaat kepada 3,349 Ketua Isi Rumah untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
  • Pelaksanaan Menu Kasih Johor menawarkan pilihan makanan dan minuman berpatutan, bersih dan sedap.
  • Pelaksanaan penambahbaikan melibatkan aspek kebersihan, keselamatan dan fasiliti awam di medan niaga.
  • Pemantauan kualiti makanan dijalankan bersama Johor Chef Association untuk kekal menjaga standard terbaik.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu memberi manfaat kepada 3,349 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka.

Inisiatif ini turut diperkukuh dengan pelaksanaan Menu Kasih Johor, yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman pada harga berpatutan berkonsepkan “Makanan Sedap, Harga Berpatutan dan Bersih”.

“Pelaksanaannya merupakan pendekatan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan ekosistem ekonomi rakyat serta membantu peniaga tempatan.

Selain itu, pelbagai penambahbaikan turut dilaksanakan di Medan Niaga ini melibatkan aspek kebersihan, keselamatan dan fasiliti awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pemantauan kualiti makanan dijalankan dengan kerjasama Johor Chef Association (JCA) bagi memastikan standard makanan sentiasa
berada pada tahap terbaik.

Medan Niaga ini menempatkan sebanyak 147 unit premis merangkumi bazar, pasar basah, lot makanan dan minuman, bilik sejuk, ruang niaga pelbagai guna (MCS) serta kedai serbaneka.

Model pembangunan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi ini akan dijadikan rujukan dalam usaha memperkasa medan niaga yang lebih sistematik, progresif dan berdaya saing di setiap daerah.