Keluarga migran hilang desak Mexico siasat

Foto AFP

MEXICO CITY, 15 Mei – Keluarga pendatang yang hilang di Mexico berkumpul di plaza Zocalo di sini bagi mendesak kerajaan membantu mereka mencari orang tersayang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis kehilangan berkaitan keganasan perang dadah menjejaskan pendatang yang melintasi Mexico.
  • Laporan PBB menganggap kehilangan sangat serius hingga melabelkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Mahkamah Hak Asasi Manusia antara Amerika mengecam tindakan tidak proaktif dalam mencari orang hilang.
  • Keluarga menuding pendakwa raya tidak bertindak dan penduduk takut melapor kerana bimbang balas dendam penjenayah.

Perhimpunan berkenaan dianjurkan sekumpulan warga Honduras, Cuba, Colombia dan Ecuador yang pergi ke Mexico untuk mencari mereka yang hilang.

Mexico menghadapi krisis kehilangan yang dikaitkan dengan keganasan perang dadah, yang turut menjejaskan pendatang asing melintasi negara itu.

Pada April, laporan PBB menganggap krisis kehilangan terbabit sangat serius hingga ia melabelkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.

Isnin lalu, satu laporan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia antara Amerika mengecam tindakan kurang proaktif dalam mencari orang yang hilang.

Secara rasmi, kerajaan Mexico telah mengumumkan sejumlah 130,000 orang hilang sejak 2006.

“Saya benar-benar meragui perkara itu,” kata Alicia Santos Torres, seorang warga Cuba yang cuba menjejaki anaknya Jorge Alejandro Lozada Santos yang hilang di Chiapas pada 2024.

“Jika (Presiden Mexico Claudia Sheinbaum) benar-benar mengambil berat tentang apa yang golongan ibu Amerika Latin katakan, dia akan mendengar dan mengetahui bahawa kita semua di sini mempunyai anak yang hilang di Mexico,” kata Santos Torres.

“Sempadan selatan telah menjadi koridor kematian bagi ramai pendatang,” tegasnya lagi.

Ramai ahli keluarga mereka telah hilang dalam bot yang berlepas dari Chiapas ketika membawa lebih 40 pendatang menuju ke utara pada 21 Disember 2024.

Keluarga itu berkata, penduduk tempatan takut untuk memaklumkan pihak polis mengenai mereka yang hilang kerana bimbang mereka boleh menjadi sasaran kumpulan penjenayah.

“Kami menyedari bahawa penduduk berasa takut… kerana takut akan tindakan balas penjenayah,” kata Oscar Enrique Hernandez, seorang warga Honduras yang mencari abangnya Ricardo Hernandez Barahona, yang hilang di atas bot.

“Apa yang kami tidak faham sebagai keluarga ialah tindakan tidak bertanggungjawab pendakwa raya kerana mereka pekakkan telinga, tidak mahu bertindak dan menyiasat,” katanya.

Perkara yang paling teruk menurut Hernandez ialah pulang ke negaranya dengan ‘tangan kosong’.- AFP