
LA PAZ, 15 Mei – Bolivia lumpuh akibat pertempuran melibatkan ribuan pelombong dengan polis kerana protes menuntut peletakan jawatan Presiden Rodrigo Paz susulan krisis ekonomi semakin teruk.
- Pelombong berarak dari El Alto ke bangunan kerajaan di La Paz, memakai topi keledar dan melaungkan "Dia mesti meletakkan jawatan!"
- Mereka menuntut bekalan bahan api, peluasan kawasan perlombongan, bahan letupan dan pembayaran dalam dolar.
- Pelombong dakwa tuntutan mereka diabaikan oleh pentadbiran Paz sejak beliau memimpin pada November lalu.
- Protes meluas termasuk pekerja kilang, petani, guru dan Orang Asli; hampir semua lebuh raya disekat, 24 sekatan dilaporkan.
Para pelombong memakai topi keledar berarak dari bandar jiran El Alto menuju ke bangunan kerajaan di La Paz, sambil melaungkan “Dia mesti meletakkan jawatan!”
Perarakan di sekitar Istana Kerajaan bertukar ganas apabila mereka bertempur dengan pegawai polis, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.
Pelombong berpendapat bahawa sektor mereka memerlukan bekalan bahan api, kawasan perlombongan yang diperluas, bahan letupan dan mata wang dolar.
Namun mendakwa tuntutan mereka telah diabaikan oleh pentadbiran Paz, sejak memimpin pada November lalu.
“Kami menuntut peletakan jawatan kerajaan yang tidak berkemampuan ini, dialog sudah pun habis,” kata Luis Apaza, seorang pelombong yang berasal dari wilayah Inquisivi, kira-kira 270 kilometer dari sini.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kerajaan berdepan bahang protes yang dianjurkan oleh pelbagai sektor melangkaui pelombong, termasuk pekerja kilang, petani, guru, Orang Asli serta pekerja pengangkutan.
Tuntutan menyentuh mengenai kenaikan gaji hingga isu penswastaan syarikat milik kerajaan.
Pada Khamis, Pusat Pekerja Bolivia (COB) iaitu kesatuan terbesar di negara itu, turut mengumumkan peningkatan tuntutannya.
“Isu tuntutan khusus dan petisyen sektoral telah diketepikan. Kini terdapat satu permintaan daripada rakyat yang digerakkan iaitu penyingkiran dan peletakan jawatan presiden,” kata Mario Argollo, wakil tertinggi COB dalam sidang akhbar.
Hampir semua lebuh raya yang menghala ke bandar tanah tinggi itu telah disekat oleh penunjuk perasaan.
Pentadbiran Lebuhraya Bolivia yang dikendalikan kerajaan melaporkan sekurang-kurangnya 24 sekatan jalan raya.
Bolivia sedang mengalami krisis ekonomi yang teruk berpunca daripada kekurangan dolar.
Inflasi tahun ke tahun pada April mencatat 14 peratus.- AFP