Operasi ketenteraan sekat hab kartel dadah di sempadan Ecuador

Foto AFP

QUITO, 15 Mei – Ecuador melancarkan operasi ketenteraan di sebuah bandar pelabuhan yang dianggap sebagai hab pengedaran dadah dan operasi kumpulan penjenayah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mensasarkan wilayah El Oro dan usaha menawan semula Puerto Bolívar, terminal pelabuhan strategik.
  • Kira-kira 1,000 askar dan 300 pegawai polis dikerahkan; perintah berkurung malam dilaksanakan di sembilan wilayah.
  • Komando mengumumkan serbuan terhadap kira-kira 1,600 rumah dalam tiga hari untuk memutus rangkaian jenayah.
  • Ecuador menjadi laluan strategik, mengendalikan sekitar 70% kokain dari Colombia dan Peru, mendorong keganasan dan ekonomi haram.

Operasi terbabit menyasarkan wilayah El Oro, yang bersempadan dengan Peru.

Menteri Pertahanan, Gian Carlo Loffredo menegaskan, penempatan anggota tentera di lokasi berkenaan adalah sebahagian daripada dasar tegas Presiden, Daniel Noboa terhadap jenayah.

Kira-kira 1,000 askar dan 300 pegawai polis dikerahkan di Puerto Bolívar, di samping arahan perintah berkurung pada waktu malam berkuat kuasa di sembilan wilayah, termasuk El Oro.

“Kira-kira 1,600 rumah akan diserbu dalam tempoh tiga hari akan datang,” kata Loffredo dalam video yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan.

Beliau menambah objektif operasi ini adalah untuk mengawal sepenuhnya wilayah itu dan menawan semula Puerto Bolívar, iaitu sebuah bandar terminal pelabuhan di barat daya.

Puerto Bolívar terkenal sebagai pusat konflik antara kumpulan penjenayah dan aktif menghantar dadah ke Amerika Utara dan Eropah.

Banyak pembunuhan, serangan bersenjata dan letupan telah dilaporkan.

“Kami mempunyai anggota yang mengawal ketat pelabuhan bagi aktiviti penyeludupan dadah. Kami juga mempunyai bot untuk memantau budaya memeras ugut para nelayan. Terdapat ekonomi haram yang sangat kompleks di sini,” jelas Loffredo.

Walaupun keadaan darurat dan perintah berkurung dikuatkuasakan, keganasan di Ecuador berterusan tanpa henti.

Tahun lalu, negara itu mencatatkan rekod 51 pembunuhan bagi setiap 100,000 penduduk,” menurut InSight Crime.

Kedudukan yang strategik di timur Pasifik menjadikan Ecuador laluan strategik bagi mengendalikan 70 peratus kokain dari jirannya Colombia dan Peru, pengeluar dadah terbesar di dunia.- AFP