
BUTTERWORTH, 15 Mei – Lima warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata.
- Tertuduh didakwa atas tiga rompakan berkumpulan bersenjatakan parang, melibatkan enam tempatan, sembilan warga Bangladesh dan dua warga Myanmar.
- Kejadian berlaku di beberapa lokasi: kuari Padang Ibu Kubang Semang (11 Mac), rumah kontena Taman Machang Bubok (12 Mac) dan Sungai Bakap (9 April).
- Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 10 Jun dan kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Pengakuan tertuduh, masing-masing Didi Sugiarto, 28 tahun, Azhari, 35 tahun, Ajis Sukandar, 40 tahun Fauji Hidayat, 41 tahun dan Suharman, 44 tahun itu, dibuat di hadapan Hakim, Roslan Hamid.
Mengikut pendakwaan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sebilah parang terhadap enam individu.
Kejadian berlaku di sebuah kuari di Padang Ibu Kubang Semang, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 3 pagi, 11 Mac lepas.
Bagi pendakwaan kedua pula, mereka didakwa melakukan rompakan terhadap sembilan warga Bangladesh, menggunakan sebilah parang dan pisau.
Jenayah dilakukan di rumah kontena Tapak Projek 1645, Jalan Kulim, Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 3.30 pagi, 12 Mac.
Sementara bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang terhadap dua warga Myanmar di Lot 610, 589, 579, 577 dan 105, Off Jalan Kampung Pengkalan, Sungai Bakap, kira-kira pukul 1.30 pagi, 9 April.
Pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan, sebagai tarikh sebutan semula kes dan kesemua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.
Terdahulu, 11 warga Indonesia termasuk pasangan kekasih telah direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung lima kes samun bersenjata di rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang.