PPD Sabak Bernam berwajah baharu, perkukuh sistem pendidikan daerah

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah/Foto RTM

SABAK BERNAM, 4 Jun – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Bangunan Baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam dalam program Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah itu, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunan baharu bernilai RM16.93 juta memperkukuh pentadbiran pendidikan, meningkatkan kecekapan pengurusan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
  • PPD pertama di Malaysia mengaplikasi konsep Industrial Design bagi reka bentuk dalaman konvensional, mewujudkan identiti visual moden.
  • Projek capai 70 peratus Sistem Bangunan Berindustri melalui penggunaan Hollow Core Slab dan kemasan Facing Brick berinspirasikan industri.
  • Kemudahan lengkap dijangka tingkatkan operasi pengurusan PPD Sabak Bernam, menyokong 64 sekolah, 20,534 murid dan 2,242 guru.

Pembinaan bangunan bernilai RM16.93 juta itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh sistem pentadbiran pendidikan di Sabak Bernam, selari dengan usaha meningkatkan kecekapan pengurusan serta kualiti penyampaian perkhidmatan pendidikan.

Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak, bangunan berkenaan merupakan PPD pertama di Malaysia yang mengaplikasikan konsep Industrial Design bagi reka bentuk dalaman konvensional.

“Pendekatan ini mewujudkan identiti visual moden, segar dan unik, sekali gus menjadi penanda aras baharu bagi bangunan di bawah portfolio Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain penggunaan bata jenis Facing Brick serta kemasan berinspirasikan industri, projek ini turut mencapai tahap Sistem Bangunan Berindustri (IBS) sehingga 70 peratus melalui penggunaan teknologi Hollow Core Slab,”katanya ketika menyampaikan sembah taklimat pada Majlis Pelancaran PPD Sabak Bernam, di sini hari ini.

Tambahnya lagi, projek pembinaan itu mengambil masa selama 183 minggu, bermula dari tarikh milik tapak pada 21 Julai 2021 dan siap sepenuhnya pada 19 Mac lalu.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Marhani M. Haniff berkata kemudahan prasarana serba lengkap tersebut dijangka memberi impak besar terhadap operasi pengurusan PPD yang kini melibatkan 71 warga kerja.

“Di bawah seliaan PPD Sabak Bernam terdapat 64 buah sekolah, melibatkan 46 sekolah rendah dan 18 sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan 20,534 murid.

“Selain itu, seramai 2,242 guru serta 398 kakitangan sokongan turut berkhidmat di sekolah-sekolah di daerah ini,” katanya.

Beliau yakin bangunan baharu itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran pendidikan, malah menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif kepada warga pendidikan di Sabak Bernam.

Perasmian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan demi manfaat generasi masa depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.