Penuntut kolej didakwa bunuh pasangan suami isteri dalam nahas di Jalan Ampang

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Seorang penuntut kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan membunuh pasangan suami isteri dalam kemalangan maut di Jalan Ampang.

RINGKASAN BERITA AI
  • A. Doraisingam, 61, dan isteri A. Menagah, 56, maut dalam kemalangan di Jalan Ampang pada 2 Mei kira-kira pukul 5.30 pagi.
  • Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi; pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
  • Siasatan awal mendapati kereta dipercayai melanggar belakang motosikal berhampiran Hospital Gleneagles Ampang; sampel darah dan air kencing dihantar ke Jabatan Kimia.

Tertuduh, Danish Raman A/L Kamar Kumaresan, 24 tahun, didakwa menyebabkan kematian A. Doraisingam, 61 tahun, dan isterinya, A. Menagah, 56 tahun, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi pada 2 Mei lalu.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Tertuduh yang memakai baju putih berbelang hitam mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh pasangan suami isteri itu di Jalan Ampang dari arah KLCC menghala ke Ampang Point.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan semula kes bagi laporan bedah siasat.

Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian berhampiran Hospital Gleneagles Ampang itu, motosikal dinaiki pasangan suami isteri terbabit dipercayai dirempuh sebuah kereta hilang kawalan.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai melanggar bahagian belakang motosikal mangsa hingga menyebabkan pasangan berkenaan maut akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dilaporkan berkata, sampel darah serta air kencing suspek sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.