
LABUAN, 15 Mei – 13 warga Filipina ditahan, selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen diri yang sah dalam Operasi Penguatkuasaan (OP Bersama) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara, di sini pada Isnin.
- Tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 terhadap individu tanpa pas sah.
- Individu ditahan ditempatkan di IPD Labuan dan Depot Imigresen untuk tindakan lanjut.
- Tiga wanita warga Filipina didakwa, mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
- JIM ulangi komitmen tindakan tegas terhadap warga asing tanpa pas sah dan majikan yang menggaji pendatang tanpa izin.
Menurut kenyataan JIM Labuan, mereka yang ditahan terdiri dariapda 12 lelaki dan seorang wanita di beberapa lokasi sekitar Labuan.
Pengarah Imigresen Labuan Mohd Redzuan Nawi berkata, kesemua individu yang ditahan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua individu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk tindakan lanjut.
Dalam perkembangan berasingan, tiga wanita warga Filipina berusia antara 18 hingga 46 tahun telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan tinggal dan berada di Labuan tanpa pas sah.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Labuan, Pegawai Imigresen Tinggi Sharlela Samsuddin sementara pertuduhan dibacakan di
hadapan Hakim Dr. Melissa Chia Pui Fung.
Mohd Redzuan mengulangi komitmen tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang tinggal tanpa pas sah serta majikan atau pemilik premis yang menggaji pendatang asing tanpa izin.