
TEHRAN, 16 April – Iran menegaskan sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) hanya akan membuahkan hasil sekiranya haknya diiktiraf serta maruah negara itu dihormati.
- Mohammad Eslami berkata rundingan yang dibina atas penipuan dan kekurangan komitmen tidak akan berjaya.
- Beliau hadir perhimpunan pro-kerajaan di Dataran Enghelab, dengan ratusan peserta menyokong kerajaan dan mengecam AS serta Israel.
- Ketua Tentera Pakistan Asim Munir dan Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi tiba di Tehran bagi berperanan sebagai perantara meredakan ketegangan.
- Perbincangan pemimpin menumpu isu dua hala serta perkembangan serantau dan global, termasuk keselamatan Selat Hormuz dan pusingan kedua rundingan.
Ketua tenaga atom Iran, Mohammad Eslami berkata, rundingan yang dibina atas penipuan dan kekurangan komitmen, tidak akan berjaya.
“Rundingan hanya boleh dianggap berhasil jika kedua-dua pihak menghormati prinsip asas termasuk kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri perhimpunan pro-kerajaan di Dataran Enghelab di sini pada Rabu.
Ratusan peserta menyertai perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan serta mengecam tindakan AS dan Israel terhadap Iran.
Sejak konflik bermula, pihak berkuasa Iran telah menganjurkan perhimpunan di beberapa bandar utama.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Tentera Pakistan, Asim Munir dan Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi tiba di Tehran pada Rabu bagi meneruskan peranan sebagai perantara dalam meredakan ketegangan antara AS dan Iran.
Sementara Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berada di Jeddah sempena lawatan rasmi empat hari ke Asia Barat melibatkan tiga negara termasuk Arab Saudi, Qatar dan Turkiye.
Fokus perbincangan bersama pemimpin utama bukan sahaja tertumpu kepada isu-isu berkepentingan dua hala, malah merangkumi perkembangan serantau dan global.
Ini termasuk situasi keselamatan di Selat Hormuz, selain pusingan kedua rundingan antara AS dengan Iran. – REUTERS