
MADRID, 29 Julai – Kerajaan Sepanyol pada Selasa menamatkan perintah pemindahan bagi 15 kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan sekali gus membolehkan puluhan ribu penduduk kembali ke kediaman masing-masing.
- Kementerian Dalam Negeri memaklumkan penduduk dibenarkan pulang setelah keadaan kebakaran semakin terkawal.
- Perintah itu berkuat kuasa pada pukul 5 petang melibatkan lapan kawasan Madrid dan lima kawasan Avila; dua lagi kawasan turut ditarik balik kemudian.
- Menteri berkata kira-kira 34,000 penduduk boleh pulang, manakala sekitar 11,000 di Madrid masih dilarang pulang kerana operasi dan penilaian keselamatan.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan penduduk di kawasan terlibat kini dibenarkan pulang selepas keadaan kebakaran semakin terkawal.
“Penduduk kini boleh mula kembali ke rumah masing-masing.
“Perintah berkenaan berkuat kuasa pada pukul 5 petang waktu tempatan melibatkan lapan kawasan di wilayah Madrid dan lima kawasan di wilayah Avila yang berjiran,” menurut kementerian itu.
Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa turut menarik semula arahan pemindahan di dua lagi kawasan di wilayah Madrid.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Fernando Grande-Marlaska berkata keputusan itu membolehkan kira-kira 34,000 penduduk pulang ke rumah atau keluar daripada arahan berlindung di kediaman masing-masing.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan jumlah penduduk yang dipindahkan serta jumlah yang berlindung di kediaman.
Sementara itu, wakil kerajaan pusat di wilayah Madrid, Francisco Martin berkata penarikan balik perintah bagi dua lagi kawasan di Madrid berkuat kuasa pada 6.30 petang waktu tempatan, membolehkan kira-kira 4,000 penduduk pulang ke rumah, manakala 6,000 penduduk yang sebelum ini diarahkan berlindung kini dibenarkan keluar.
Walaupun situasi semakin pulih, Martin memaklumkan sekitar 11,000 penduduk di wilayah Madrid masih belum dibenarkan pulang kerana operasi memadam kebakaran dan penilaian keselamatan masih diteruskan. – AFP