
BEIJING, 27 Jun – Seorang juruterbang maut, manakala 13 orang cedera selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke Menara CITIC di Beijing.
- Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
- Video menunjukkan bomba menyembur air ke api kecil dan serpihan pesawat berhampiran bangunan.
- Polis dan ambulans dikerah, awam dihalang mengambil gambar; Menara CITIC mempunyai 108 tingkat serta tujuh tingkat bawah tanah.
Menurut pihak berkuasa daerah Chaoyang, pesawat dua tempat duduk itu terhempas ke bangunan tinggi itu pada pukul 5.55 petang, hari Jumaat.
“Seorang sahaja berada di dalam pesawat iaitu juruterbang, yang disahkan maut, manakala 13 orang cedera di lokasi kejadian,” menurut pihak berkuasa dalam kenyataan yang dikongsi melalui aplikasi WeChat.
Tambah kenyataan itu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Rakaman video oleh saksi dari bangunan berhampiran menunjukkan pasukan bomba menyembur air ke arah api kecil di kawasan tanah, selain serpihan pesawat yang kelihatan berhampiran bangunan berkenaan.
Sementara itu, pasukan polis dan ambulans dikerah ke lokasi serta pihak berkuasa menghalang orang awam daripada mengambil gambar.
Menara CITIC yang mempunyai 108 tingkat dan tujuh tingkat bawah tanah mampu menampung sehingga 12,000 pekerja pejabat.-AFP