
ISTANBUL, 27 Jun – Iran pada Sabtu mengecam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas beberapa lokasi di sepanjang pantai selatannya, sambil menuduh Washington melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan pakatan yang baru dimeterai bagi menamatkan perang, lapor Anadolu Ajansi.
- Kementerian Luar: serangan sasar kemudahan pengawasan pesisir; Iran menegaskan hak mempertahankan diri dan melancarkan serangan balas terhadap sasaran berkaitan AS.
- Tehran menggesa negara Teluk menghalang pihak penceroboh menggunakan wilayah dan kemudahan mereka terhadap Iran.
- IRGC: pasukan laut sasar kedudukan tentera AS di rantau dan berikrar bertindak balas jika ketegangan terus meningkat.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Iran berkata serangan itu menyasarkan kemudahan pengawasan pesisir pantai dan menegaskan semula hak Iran untuk mempertahankan diri, selain memaklumkan bahawa angkatan tenteranya telah melancarkan serangan balas terhadap sasaran berkaitan AS.
Kementerian itu turut menggesa negara-negara Teluk “menghalang mana-mana pihak penceroboh daripada menggunakan wilayah dan kemudahan mereka untuk melakukan tindakan pencerobohan” terhadap Tehran.
Ia juga menyeru PBB dan badan antarabangsa supaya “tidak berdiam diri terhadap pencabulan terang-terangan” undang-undang antarabangsa.
AS pada lewat Jumaat berkata tenteranya menyerang tapak peluru berpandu, dron dan radar Iran selepas menuduh Tehran di sebalik serangan ke atas sebuah kapal komersial yang melalui Selat Hormuz.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) kemudian berkata pasukan tentera lautnya menyasarkan kedudukan tentera AS di seluruh rantau itu dan berikrar bertindak balas sekiranya ketegangan terus meningkat.
Awal bulan ini, Tehran dan Washington mencapai memorandum persefahaman 14 perkara yang dimudah cara oleh Pakistan, dan berkuat kuasa pada 18 Jun selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Presiden AS Donald Trump.
Perjanjian itu merangkumi peruntukan untuk menamatkan permusuhan di beberapa medan, termasuk Lubnan, membuka semula Selat Hormuz dan menarik balik sekatan laut AS terhadap Iran, sementara rundingan selama 60 hari diteruskan ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh dan berkekalan.- BERNAMA-ANADOLU