
BEIRUT, 27 Jun – Ketua pejuang Hizbullah, Naim Qassem, pada Sabtu menegaskan perjanjian rangka kerja antara Israel dan Lubnan yang dimeterai di Washington sebagai tidak sah, memalukan dan menjejaskan kedaulatan Lubnan.
- Minta perjanjian diganti dengan memorandum antara Iran dan Amerika Syarikat.
- Tegaskan sebarang usaha kaitkan pengunduran tentera Israel dengan pelucutan senjata Hizbullah tidak boleh diterima.
- Israel dan Lubnan tandatangan perjanjian rangka kerja di Washington; Netanyahu kata tentera boleh kekal, Presiden Aoun harap rakyat pulang dan bina semula.
Beliau berkata perjanjian itu wajar digantikan dengan memorandum antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu kenyataan, beliau berkata sebarang percubaan mengaitkan pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan dengan pelucutan senjata Hizbullah adalah perkara yang tidak boleh dirunding atau diterima sama sekali.
Israel dan Lubnan menandatangani perjanjian rangka kerja itu di Washington pada Jumaat selepas beberapa hari rundingan bagi menamatkan pertempuran antara Israel dan pejuang Hizbullah.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak menyifatkan perjanjian itu hanya sebagai langkah awal ke arah penyelesaian konflik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata perjanjian tersebut membolehkan tenteranya kekal di selatan Lubnan, sekiranya Hizbullah enggan melucutkan senjata.
Sementara itu, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, berharap perjanjian itu membolehkan rakyat kembali ke kawasan yang telah dibebaskan serta membina semula kediaman mereka tanpa menjejaskan kedaulatan negara.-REUTERS