Jurugambar dilabel sebagai anggota pejuang Hamas, Al Jazeera nafi dakwaan Israel

Foto AFP

DOHA, 21 Jun – Rangkaian berita Al Jazeera menolak sekeras-kerasnya dakwaan tentera Israel yang menuduh salah seorang jurugambarnya, Ahmed Wishah, yang terkorban dalam serangan udara di Gaza semalam, sebagai seorang perisik kepada kumpulan pejuang Hamas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al Jazeera mengecam tuduhan tentera Israel sebagai tidak berasas dan usaha untuk menghalalkan jenayah terhadap pengamal media.
  • Tentera Israel mendakwa Wishah terbunuh bersama dua pejuang Hamas dan menuduhnya anggota penembak tepat tanpa bukti.
  • Wishah terbunuh selepas serangan udara menyasarkan rumah di kem pelarian Bureij; rakan sekerja mengadakan penghormatan terakhir.
  • Data RSF menunjukkan lebih 220 wartawan terbunuh sejak konflik, sekurang-kurangnya 70 ketika menjalankan tugas profesional.

Stesen penyiaran yang berpangkalan di Qatar itu dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas oleh tentera rejim Zionis itu yang dilihat sebagai usaha untuk menghalalkan jenayah terhadap pengamal media di Gaza.

Terdahulu, tentera Israel dalam kenyataan pada Sabtu mendakwa Wishah terbunuh dalam satu serangan bersama dua lagi pejuang Hamas dan menuduh mangsa berkhidmat sebagai “anggota penembak tepat” bagi kumpulan berkenaan.

“Di samping tugasnya sebagai jurugambar Al Jazeera sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Wishah merupakan seorang anggota dalam sayap tentera Hamas,” dakwa kenyataan tentera Israel tanpa mengemukakan sebarang bukti dokumentasi mahupun fizikal.

Susulan insiden itu, suasana hiba menyelubungi Hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah apabila ahli keluarga serta rakan setugas berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Seorang wartawan sambilan di Gaza, Bilal Abu Samak meluahkan rasa terkejut dan menyifatkan serangan ke atas rakan setugasnya itu sebagai satu tindakan yang disengajakan oleh pihak Israel.

“Buat pertama kali, saya berasa tidak mampu untuk merakam gambar. Pihak berkuasa rejim sengaja membunuh wartawan dan sesiapa sahaja yang membuat liputan mengenai situasi sebenar di lapangan,” katanya.

Menurut Al Jazeera, Wishah terkorban selepas serangan udara Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Bureij.

Tragedi itu berlaku selepas abangnya, Mohammed Wishah, yang juga seorang wartawan Al Jazeera, maut akibat bedilan meriam Israel pada April lalu.

Berdasarkan data daripada kumpulan hak asasi media, Reporters Without Borders (RSF), pasukan tentera Israel telah membunuh lebih 220 wartawan sejak konflik di Gaza meletus, dengan sekurang-kurangnya 70 daripada mereka terkorban ketika sedang menjalankan tugas profesional. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.