Vance, wakil Iran bertemu di Switzerland untuk rundingan damai

foto REUTERS

BUERGENSTOCK, 21 Jun – Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, tiba di sebuah pusat peranginan gunung di Switzerland untuk rundingan damai dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menguatkuasakan semula sekatan di Selat Hormuz susulan serangan Israel di Lubnan, menyekat laluan perdagangan dan menimbulkan ketegangan maritim.
  • Memorandum persefahaman minggu lalu menggesa pembukaan semula Selat Hormuz dan penghentian semua permusuhan termasuk di Lubnan.
  • Pertikaian mengenai penutupan selat: AS kata 55 kapal lalu, tetapi agensi Iran melaporkan tiada permit baharu dikeluarkan.
  • Rundingan di pusat peranginan gunung milik Qatar fokus pada pelaksanaan MoU; Vance mengetuai AS, Qalibaf mewakili Iran, dengan pengantara Qatar dan Pakistan.

Namun, usaha diplomatik itu dibayangi oleh pengumuman Iran bahawa mereka telah menguatkuasakan semula sekatan di Selat Hormuz, susulan serangan berterusan Israel di Lubnan.

Satu memorandum persefahaman dipersetujui minggu lalu dalam usaha menamatkan perang, menggesa pembukaan semula Selat Hormuz dan penghentian semua permusuhan, termasuk di Lubnan yang telah diceroboh Israel pada Mac lalu.

Pegawai Amerika Syarikat mempertikaikan dakwaan bahawa selat itu ditutup dan menyatakan 55 kapal dagang telah melaluinya pada Sabtu.

Bagaimanapun, pada Ahad, agensi berita Fars News Agency memetik sumber ketenteraan memaklumkan, tiada permit baharu akan dikeluarkan untuk kapal menyeberangi selat itu sehingga diberitahu kelak.

Harga minyak menjunam selepas perjanjian diumumkan.

Pengumuman mengenai penutupan semula selat itu dibuat pada hujung minggu ketika pasaran ditutup, menjadikan kesannya sukar dinilai.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata beliau bersetuju dengan memorandum persefahaman minggu lalu bagi mengelakkan kemelesetan ekonomi global akibat lonjakan harga minyak yang berpunca daripada penutupan Selat Hormuz.

Sejak perjanjian itu diumumkan, harga minyak telah jatuh ke paras terendah sejak perang bermula.

Namun, sekatan Iran terhadap laluan itu berpotensi menyebabkan harga minyak melonjak semula apabila pasaran dibuka pada Isnin.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata rundingan di pusat peranginan gunung milik Qatar di Bürgenstock yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat serta pengantara dari Qatar dan Pakistan akan berlangsung selama satu hari sahaja.

Beliau menegaskan, memandangkan Washington gagal menjamin gencatan senjata di Lubnan, rundingan kali ini hanya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan memorandum tersebut, bukannya isu-isu utama yang dijadualkan untuk peringkat rundingan seterusnya.

Memorandum persefahaman itu memperuntukkan tempoh 60 hari rundingan mengenai isu seperti mengehadkan program nuklear Iran sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan antarabangsa.

Iran juga dijangka menerima manfaat ekonomi awal seperti pengecualian sekatan dan pembebasan aset yang dibekukan.

Vance mengetuai delegasi Amerika Syarikat, manakala Iran diwakili oleh Speaker Parlimennya, Mohammed Baqer Qalibaf.

Kedua-duanya pernah bertemu dalam satu-satunya rundingan bersemuka yang diketahui setakat ini, lebih dua bulan lalu.

“Saya berharap kita akan mencapai kemajuan dalam isu nuklear dan juga isu gencatan senjata di Lubnan,” kata Vance kepada wartawan di Joint Base Andrews, Maryland sebelum berlepas.

Beliau menambah bahawa rundingan itu berkemungkinan berlangsung selama beberapa hari.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dan Ketua Tentera Darat negara itu, Syed Asim Munir juga telah tiba untuk menyertai rundingan berkenaan – REUTERS

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.