Iran kecam sekatan baharu AS, sifatkan keganasan ekonomi

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei/ REUTERS

TEHRAN, 17 April – Iran mengecam sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai ‘keganasan ekonomi’, ketika Washington melancarkan kempen baharu untuk meningkatkan tekanan ekonomi maksimum terhadap Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurucakap Baghaei menyifatkan sekatan itu sebagai keganasan ekonomi, pemerasan negara dan jenayah terhadap kemanusiaan.
  • Beliau berkata dasar AS sengaja menyebabkan penderitaan orang awam dan mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan.
  • Jabatan Perbendaharaan AS memulakan operasi 'kemarahan ekonomi' untuk memperhebat tekanan ekonomi terhadap Iran.
  • Setiausaha Pertahanan Hegseth memberi amaran tentera AS sedia tingkatkan operasi, termasuk kemungkinan sekatan ke atas pelabuhan Iran.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menerusi hantaran di media sosial mendakwa dasar AS itu yang sengaja menyebabkan penderitaan kepada orang awam serta mencerminkan sikap tidak berperikemanusiaan.

“Tindakan tersebut hanya mendedahkan pemikiran yang tidak berperikemanusiaan di sebaliknya. Ia tidak lain hanyalah keganasan ekonomi dan pemerasan yang ditaja oleh negara, malah merupakan jenayah terhadap kemanusiaan

“… dan boleh dianggap sebagai pembunuhan beramai-ramai,” katanya menerusi hantaran di media sosial X.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth, dalam satu taklimat di Pentagon memaklumkan Jabatan Perbendaharaan AS melancarkan operasi dikenali sebagai ‘kemarahan ekonomi’ bagi memperhebat tekanan ekonomi terhadap Iran.

Hegseth turut memberi amaran tentera AS bersedia untuk menyambung operasi ketenteraan dengan kekuatan yang lebih besar, sekiranya Iran gagal mencapai persetujuan dan memilih untuk tidak berunding.

Beliau juga menyatakan kemungkinan sekatan tentera AS ke atas pelabuhan Iran sebagai antara langkah paling ringan yang boleh diambil ketika ini.

Tambahnya, matlamat utama AS adalah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, sambil menegaskan AS masih mengutamakan pendekatan rundingan, namun tidak menolak tindakan lebih keras jika perlu.-REUTERS