Indonesia tubuhkan 204 unit ketenteraan baharu

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada upacara memperingati Hari Ulang Tahun ke-81 Tentera Nasional Indonesia (TNI) / Foto AFP

JAKARTA, 5 Oktober – Indonesia mengembangkan angkatan tenteranya dengan penubuhan 204 unit ketenteraan baharu, termasuk enam pusat perintah wilayah dan 180 unit infantri pembangunan wilayah, ketika Presiden Prabowo Subianto menggesa kesiapsiagaan yang lebih tinggi bagi mendepani bentuk peperangan yang kian berkembang dan kemajuan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera Darat menambah 30 briged infantri pembangunan wilayah dan 150 batalion infantri pembangunan wilayah, serta satu batalion kavalri, artileri medan dan artileri pertahanan udara.
  • Tentera Laut menubuhkan satu briged infantri Marin dan empat batalion infantri Marin.
  • Tentera Udara menambah 10 unit termasuk satu divisyen, satu briged, tiga batalion Pasukan Gerak Cepat, dua skuadron udara, dua unit radar, satu skuadron latihan.
  • Enam pusat perintah wilayah baru di Kepulauan Riau, Yogyakarta, Nusa Tenggara Timur, Maluku Utara, Papua Tengah dan Nusa Tenggara Barat.

Pengembangan itu merangkumi 30 briged infantri pembangunan wilayah dan 150 batalion infantri pembangunan wilayah, manakala Tentera Darat turut menambah satu batalion kavalri, satu batalion artileri medan dan satu batalion artileri pertahanan udara.

Tentera Laut pula menubuhkan satu briged infantri Marin dan empat batalion infantri Marin, manakala Tentera Udara menambah 10 unit, termasuk satu divisyen, satu briged dan tiga batalion Pasukan Gerak Cepat, dua skuadron udara, dua unit radar dan satu skuadron latihan.

Bercakap pada upacara memperingati Hari Ulang Tahun ke-81 Tentera Nasional Indonesia (TNI) pada Isnin, Prabowo menekankan keperluan untuk tentera bersiap sedia menghadapi ancaman keselamatan yang kian berkembang, seiring dengan perkembangan teknologi.

“Perang hari ini tidak semestinya berbentuk fizikal. Justeru, TNI mesti terus beradaptasi, belajar, belajar, belajar, dan berlatih, berlatih, berlatih,” katanya di ibu pejabat TNI di sini semasa upacara berkenaan yang disiarkan secara langsung.

Prabowo kemudiannya merasmikan enam pusat perintah wilayah berkenaan dengan menyampaikan tongkat perintah dan bendera unit kepada komander masing-masing.

Upacara itu melibatkan 3,378 anggota daripada Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, serta ahli komponen simpanan dan kontinjen lain yang mengambil bahagian.

Enam pusat perintah wilayah baharu berkenaan ialah Mahmud Riayat Syah di Kepulauan Riau, Mataram di Yogyakarta, Sobe Sonbai di Nusa Tenggara Timur, Molku Kie Raha di Maluku Utara, Mambruk di Papua Tengah dan Rinambora di Nusa Tenggara Barat. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.