Hamas tegaskan komitmen laksana fasa kedua pelan Gaza

Hamas

ISTANBUL, 9 Ogos – Hamas pada Ahad menegaskan semula komitmennya terhadap pelan tindakan yang dipersetujui bersama pihak pengantara dan Lembaga Keamanan bagi melengkapkan pelaksanaan fasa kedua pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekal serius melibatkan diri secara bertanggungjawab melaksanakan pelan 15 perkara dan menetapkan jadual pelaksanaan yang jelas.
  • Keutamaan memastikan pelaksanaan semua fasa dan pemenuhan kewajipan yang termaktub dalam perjanjian.
  • Proses mesti membawa gencatan senjata menyeluruh, tamatkan serangan, pengunduran tentera, buka lintasan, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula.
  • Menggesa pengantara, penjamin dan Lembaga Keamanan pikul tanggungjawab, pastikan pematuhan perjanjian serta cegah sebarang pelanggaran.

Dalam satu kenyataan, pergerakan itu memaklumkan bahawa ia kekal serius untuk “melibatkan diri secara bertanggungjawab” dalam melaksanakan pelan 15 perkara itu serta menetapkan jadual pelaksanaan yang jelas.

“Keutamaan pada peringkat ini ialah memastikan pelaksanaan semua fasa dan kewajipan yang termaktub dalam perjanjian itu,” menurut Hamas.

Pergerakan itu menambah bahawa proses berkenaan perlu membawa kepada gencatan senjata secara menyeluruh, menamatkan serangan Israel, melengkapkan pengunduran tentera Israel, membuka semula lintasan sempadan, kemasukan bantuan kemanusiaan dan bekalan tempat perlindungan, memulakan usaha pembinaan semula serta membolehkan Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza memulakan tugasnya.

Hamas menggesa pihak pengantara, penjamin dan Lembaga Keamanan supaya “memikul tanggungjawab masing-masing”, memastikan semua pihak mematuhi perjanjian itu serta menghalang sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan pelaksanaannya atau menggugat gencatan senjata.

Kumpulan itu memaklumkan bahawa ia akan terus terlibat secara “positif dan bertanggungjawab” terhadap usaha untuk melengkapkan pelaksanaan perjanjian, menamatkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta “melindungi hak dan kepentingan nasional” mereka.

Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak pelan 15 perkara yang diluluskan Lembaga Keamanan bagi Gaza dan menegaskan bahawa tentera Israel tidak akan berundur dari wilayah Palestin itu selagi Hamas belum dilucutkan senjata.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.