GSF: Rejim Israel bebaskan Saif Abu Keshek, Thiago Avila

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 10 Mei– Dua aktivis antarabangsa yang ditahan rejim Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza April lalu, kini telah dibebaskan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aktivis GSF dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa semasa misi bantuan laut bagi Gaza.
  • Walaupun desakan Sepanyol, Brazil dan PBB, Israel menahan mereka untuk soal siasat sebelum menghantar pulang.
  • Tindakan memintas dikritik hak asasi; sekatan maritim Israel dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.

Saif Abu Keshek, warga Sepanyol berketurunan Palestin dan Thiago Avila dari Brazil, merupakan sebahagian daripada puluhan aktivis GSF yang dipintas oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa pada 30 April lalu.

Meskipun mendapat desakan daripada Sepanyol, Brazil dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) agar mereka dibebaskan segera, pihak berkuasa Israel tetap menahan kedua-dua pejuang kemanusiaan itu untuk soal siasat sebelum menghantar mereka pulang.

Misi bantuan yang bermula dari pelabuhan di Perancis, Sepanyol dan Itali itu bertujuan membawa bekalan asas kepada penduduk Palestin yang kini menderita akibat perang dan kebuluran.

Namun, Israel secara angkuh menegaskan akan terus mengekalkan sekatan maritim dan tidak akan membenarkan sebarang bantuan luar masuk melalui jalan laut.

Tindakan Israel memintas kapal di perairan antarabangsa itu dikritik hebat kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan penahanan dan keputusan mahkamah rejim tersebut sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.

Sejak 2007, Gaza telah dijadikan ‘penjara terbuka’ terbesar di dunia melalui sekatan menyeluruh Israel.

Keadaan menjadi semakin meruncing sejak Oktober 2023 apabila rejim Zionis bertindak menyekat sepenuhnya kemasukan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas, sekali gus menggunakan bantuan kemanusiaan sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin. -AFP