
BERLIN, 14 April – Seekor gorila betina tertua di dunia, Fatou, mencipta rekod tersendiri apabila menyambut ulang tahun ke-69 di Zoo Berlin, sekali gus jauh melebihi jangka hayat purata spesies itu antara 40 hingga 50 tahun.
- Fatou diraikan dengan bakul makanan khas termasuk salad, tomato, bit dan brokoli, menarik perhatian pengunjung yang hadir menyaksikan sambutan.
- Penjaga menyifatkan usianya luar biasa dan sebagai 'Methuselah', menunjukkan penjagaan rapi dan penyesuaian kepada keperluan haiwan tua.
- Kurator menjelaskan Fatou ditempatkan berasingan untuk mengurangkan tekanan sosial, dan menjadi simbol kejayaan penjagaan haiwan lanjut usia di zoo.
Fatou yang menetap di zoo berkenaan sejak 1959 diraikan dengan bakul makanan khas mengandungi salad, tomato, bit dan brokoli, selain menjadi tumpuan pengunjung yang hadir menyaksikan detik istimewa itu.
Penjaganya, Lennard Gaudian berkata, usia Fatou yang menjangkau hampir tujuh dekad merupakan sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah dijangka.
Menurutnya, Fatou dianggap seperti ‘Methuselah’ dalam kalangan gorila kerana mampu hidup jauh lebih lama daripada kebiasaan.
Tambah beliau, pencapaian itu juga membuktikan penjagaan rapi dan penyesuaian terhadap keperluan usia haiwan berkenaan berjaya dilaksanakan.
Sementara itu, kurator Zoo Berlin, Jennifer Hahn menjelaskan faktor usia menyebabkan Fatou kini ditempatkan secara berasingan daripada kumpulan gorila lain bagi mengelakkan tekanan.
Katanya, persekitaran sosial dalam kumpulan gorila yang aktif boleh memberi tekanan kepada haiwan berusia lanjut, justeru pengasingan itu dilihat lebih sesuai.
Malah, beliau menambah, dengan keadaan kesihatan semasa, Fatou juga tidak lagi berupaya untuk hidup di habitat liar.
Dalam pada itu, pengunjung tetap zoo berkenaan, Nikolas Groeneveld berkata beliau tidak pernah terlepas meraikan ulang tahun kelahiran Fatou sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, beliau akan terus hadir setiap tahun selagi masih berpeluang melihat gorila berkenaan.
Seorang lagi pengunjung, Daniela Krone pula berharap Fatou kekal sihat dan berpeluang mencapai usia 70 tahun.
Fatou kini bukan sahaja menjadi tarikan utama Zoo Berlin, malah simbol kejayaan penjagaan haiwan berusia lanjut dalam kurungan. – AFP