
HOUSTON, 15 April — Dua tenaga pengajar fotografi misi Artemis II memuji hasil rakaman imej oleh empat angkasawan yang menjalani latihan intensif bagi merakam detik bersejarah penerbangan mengelilingi Bulan.
- Nikon D5 menjadi tulang belakang operasi fotografi, tahan radiasi dan sesuai untuk cahaya rendah.
- Kru juga gunakan mirrorless Nikon Z9 dengan lensa 14-24mm, 80-400mm dan 35mm untuk variasi sudut dan jarak rakaman.
- Penggunaan iPhone 17 Pro Max dan GoPro memudahkan rakaman segera serta siaran langsung, namun penghantaran data besar terhad oleh jalur lebar angkasa.
Pakar subjek fotografi dan video NASA, Paul Reichert dan Katrina Willoughby berkata kru berkenaan menjalani kira-kira 20 jam latihan sepanjang beberapa tahun bagi memastikan keupayaan teknikal mereka berada pada tahap optimum.
Reichert berkata kamera DSLR Nikon D5 yang dilancarkan pada 2016 menjadi “tulang belakang” operasi fotografi, memandangkan ia telah lama digunakan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan terbukti tahan terhadap radiasi.
“Kami mempunyai banyak pengalaman penerbangan dengan kamera ini. Kami tahu ia mampu menahan pendedahan radiasi selama beberapa tahun di ISS tanpa sebarang masalah,” katanya.
Menurut beliau, keupayaan prestasi tinggi dalam keadaan cahaya rendah turut menjadikan kamera itu sesuai digunakan dalam persekitaran angkasa yang gelap.

Selain itu, kru turut menggunakan kamera mirrorless Nikon Z9 bersama beberapa lensa termasuk 14-24mm, 80-400mm dan 35mm bagi mendapatkan variasi sudut dan jarak rakaman.
Dalam perkembangan sama, Willoughby berkata penggunaan telefon pintar iPhone 17 Pro Max merupakan penambahan lewat dalam senarai peralatan, namun memberi kelebihan dari segi kemudahan rakaman segera.
“Cabaran utama ialah penghantaran data kerana saiz fail yang besar, sedangkan kapasiti jalur lebar di angkasa adalah terhad berbanding di Bumi,” katanya.
Berbeza dengan misi ke bulan lebih 50 tahun lalu yang menggunakan kamera filem, kru Artemis II kini dapat melihat hasil rakaman secara digital serta-merta, selain penggunaan kamera aksi seperti GoPro yang membolehkan siaran langsung ke Bumi.
Willoughby berkata suasana di pusat kawalan Houston amat teruja apabila imej-imej berkenaan diterima dan dikongsikan.
“Keseronokan di bilik kawalan, sama ada di belakang atau hadapan, sangat terasa apabila imej mula diterima dan disiarkan. Kami semua benar-benar teruja,” katanya. – REUTERS