China nafi bekal senjata kepada Iran

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang media harian di Beijing/ Foto REUTERS

BEIJING, 13 April – China menyifatkan laporan yang mendakwa ia telah membekalkan atau berhasrat untuk membekalkan senjata kepada Iran sebagai tuduhan tidak berasas, sekali gus menyangkal laporan beberapa media yang memetik sumber perisikan Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • China menegaskan kawalan ketat terhadap eksport barangan ketenteraan menurut undang-undang dan kewajipan antarabangsa.
  • Donald Trump mengancam tarif sehingga 50 peratus jika China memberikan bantuan ketenteraan kepada Tehran.
  • CNN melaporkan perisikan AS menunjukkan China bersiap menghantar sistem pertahanan udara baharu ke Iran.
  • The New York Times memetik pegawai AS yang mengesyaki China menghantar peluru berpandu lancaran bahu kepada Iran; China menafikan.

“China sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap eksport barangan ketenteraan dengan melaksanakan kawalan ketat selaras dengan undang-undang dan peraturan kawalan eksportnya sendiri serta kewajipan antarabangsa.

“Kami menentang tuduhan tidak berasas atau kaitan berniat jahat,” kata Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam sidang media harian.

Pada Ahad, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam Beijing dengan tarif baharu yang sangat tinggi mencecah 50 peratus, jika ia memberikan bantuan ketenteraan kepada Tehran.

Ancaman itu dibuat pada hari sama agensi berita CNN melaporkan perisikan Amerika menunjukkan China sedang bersiap sedia untuk menghantar sistem pertahanan udara baharu ke Iran dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Sepanjang hujung minggu lalu, laporan The New York Times memetik pegawai Amerika sebagai berkata, unit perisikan mengesyaki Beijing telah pun menghantar peluru berpandu lancaran bahu kepada Iran – dakwaan yang dinafikan oleh China.

China merupakan rakan ekonomi utama Iran yang membeli sebahagian besar minyak dari negara Asia Barat itu, namun kedua-dua negara tidak mempunyai pakatan ketenteraan rasmi. -AFP