
BANGI, 17 April – Langkah kerajaan meningkatkan mandat campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 akan memberi nilai tambah kepada industri sawit negara.
- Peningkatan penggunaan domestik bagi biodiesel dijangka mengehadkan bekalan eksport, seterusnya menyokong kestabilan harga sawit di pasaran global.
- Pelaksanaan B15 hanya memerlukan tambahan sekitar 300,000 tan, kurang daripada 10 peratus penggunaan domestik, tidak menjejaskan bekalan negara.
- Pelaksanaan berperingkat bermula B12 ke B15 bertujuan memastikan bekalan diesel stabil susulan ketidaktentuan di Asia Barat dan permintaan eksport kekal.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, perkembangan terbaharu itu dijangka mendorong permintaan MSM untuk tempoh akan datang serta menyokong kestabilan harga di peringkat global.
“Apabila penggunaan dalam negara meningkat, jumlah untuk eksport akan berkurang. Ini menyebabkan penawaran di pasaran global menjadi lebih terhad, sekali gus menyokong kestabilan harga minyak sawit.
“Seperti yang berlaku di Indonesia, apabila penggunaan domestik meningkat, pasaran global melihat bekalan berkurangan, manakala permintaan kekal tinggi. Tambahan pula, banyak negara masih bergantung kepada minyak sawit, yang ketika ini menyumbang kira-kira 50 peratus pasaran minyak dan lemak dunia. Dari segi eksport pula, ia juga tidak menimbulkan sebarang masalah,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama RTM.
Tambah beliau, pelaksanaan B15 juga dijangka tidak menjejaskan bekalan minyak sawit negara, memandangkan keperluan tambahan minyak sawit adalah kecil berbanding jumlah pengeluaran keseluruhan.
“Pelaksanaan B15 hanya memerlukan tambahan sekitar 300,000 tan minyak sawit, iaitu kurang daripada 10 peratus penggunaan domestik. Sedangkan Malaysia menghasilkan sekitar 20 juta tan minyak sawit setahun.
“Malah, tahun lalu, pengeluaran pernah mencecah sekitar 20.8 juta tan, manakala penggunaan dalam negara hanya sekitar 20 peratus. Berbanding Indonesia yang melaksanakan B20 dan menggunakan kira-kira 40 peratus untuk pasaran domestik, penggunaan kita masih rendah,” jelasnya.
Mengulas prospek eksport, katanya, Malaysia terus menerima permintaan termasuk bagi biodiesel daripada beberapa negara seperti China.
Terdahulu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 secara berperingkat, sebagai usaha memastikan bekalan diesel negara kekal stabil susulan ketidaktentuan di Asia Barat.