Warden sepenuh masa ditempatkan di semua 58 MRSM mulai tahun depan – Datuk Dr. Asyraf Wajdi

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 21 April – Warden sepenuh masa akan ditempatkan di 58 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara mulai tahun depan, menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warden dipilih daripada bekas anggota beruniform, melalui pemilihan ketat dan latihan memahami Falsafah Pendidikan MARA.
  • Usaha ini mengurangkan beban tugas warden bagi guru, membolehkan fokus kepada pengajaran, didikan dan kemenjadian pelajar.
  • Projek rintis lantikan veteran ATM di dua MRSM selama enam bulan menunjukkan perkembangan positif dan akan guna hasil kajian untuk penambahbaikan.

“Bermula tahun depan semua 58 MRSM akan ada warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota beruniform dengan pemilihan yang ketat dan wajib melalui latihan untuk faham Falsafah Pendidikan MARA.

“Guru-guru tidak perlu lagi terbeban dengan tugas warden, hanya fokus mengajar, mendidik dan kemenjadian pelajar,” kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Ogos tahun lepas, Datuk Dr. Asyraf Wajdi mengumumkan MARA melaksanakan projek rintis pelantikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di dua buah MRSM iaitu MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan Besut, Terengganu, bagi tempoh enam bulan.

Beliau ketika itu turut memaklumkan, projek rintis berkenaan menunjukkan perkembangan positif, dan hasil dapatan kajian akan dikongsikan bagi tujuan penambahbaikan.