90 lokasi banjir dikenal pasti di Kedah

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 21 April – 90 lokasi banjir telah dikenal pasti di seluruh negeri Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berdasarkan laporan tiga tahun terkini 2023 hingga 2025.
  • Daerah Baling paling tinggi (19 lokasi); Kota Setar 11; Pendang dan Bandar Baharu masing-masing 9 lokasi.
  • Semua lokasi mengalami banjir sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun.
  • Maklumat untuk membantu agensi, pihak berkuasa dan penduduk membuat persediaan awal; sentiasa peka ramalan cuaca dan patuhi arahan.

Ia berdasarkan data laporan bagi tiga tahun terkini iaitu 2023, 2024 dan 2025.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Ir Ahmad Solihin Budarto dalam kenyataan berkata, daerah Baling mencatat jumlah tertinggi dengan 19 lokasi.

Ia diikuti Kota Setar melibatkan 11 lokasi dan masing-masing sembilan lokasi di daerah Pendang dan Bandar Baharu.

Selain itu, enam lokasi di Kulim, lima lokasi di Kuala Muda dan empat lokasi di Sik.

Kesemua lokasi berkenaan merupakan kawasan berisiko banjir yang mengalami kekerapan tidak kurang daripada tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.

Jelas Ir Ahmad Solihin, maklumat berkenaan bertujuan membantu agensi berkaitan, pihak berkuasa tempatan serta penduduk setempat untuk membuat persediaan awal menghadapi kemungkinan kejadian banjir, khususnya ketika musim monsun.

Orang ramai yang berada di kawasan terlibat disaran sentiasa peka dengan ramalan cuaca semasa, mengambil langkah kesiapsiagaan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.