Suspek gangguan seksual dalam tren ETS ditahan di Tanjung Malim

FOTO FB KTM Berhad

KUALA LUMPUR, 17 April – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam insiden gangguan seksual di dalam tren ETS 9055 bagi perjalanan dari Ipoh ke KL Sentral, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek ditahan sejurus tren tiba di Stesen Tanjung Malim selepas tindakan pantas polis dan laporan kru tren.
  • Suspek diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut.
  • Mangsa diberi bantuan sewajarnya sehingga selesai membuat laporan polis.
  • KTMB menegaskan komitmen keselamatan penumpang, menggesa laporan segera kepada kru atau pihak berkuasa; maklumat 03-2263 1194.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan sejurus tren tiba di Stesen Tanjung Malim hasil tindakan pantas anggota polis yang menerima laporan daripada kru tren.

Menurut kenyataan itu, suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Mangsa turut diberikan bantuan sewajarnya sehingga selesai membuat laporan polis.

KTMB menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk gangguan atau salah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang.

“KTMB kekal komited untuk menyediakan persekitaran perjalanan yang selamat, selesa dan terjamin kepada semua pengguna perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan sebarang insiden kepada kru tren atau pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.

Dalam pada itu, KTMB memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 atau memaklumkan kepada pihak PDRM.

KTMB turut menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan perkhidmatan sentiasa terpelihara.