Lelaki rentung kereta terbakar dalam nahas di Miri

FOTO JBOM SARAWAK

MIRI, 17 April – Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dinaikinya terbakar dalam kemalangan melibatkan sebuah lori muatan tanah di Jalan Miri By Pass, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dikenali sebagai Roy Hakimi Arikan @ Ariken, 40 tahun, disahkan rentung di lokasi kejadian.
  • Kejadian melibatkan sebuah lori muatan tanah dan kereta sport Subaru BRZ; lori terbakar hampir 100 peratus bahagian hadapan.
  • Pasukan BBP Lopeng menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air jentera dan bantuan lori lain untuk mengalihkan kenderaan berat.
  • Mayat dikeluarkan selepas api dipadam dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut; punca masih dalam siasatan.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, kemalangan itu melibatkan sebuah lori muatan tanah dan sebuah kereta.

Dalam kejadian tersebut, lori berkenaan terbakar hampir 100 peratus di bahagian hadapan, manakala kereta dinaiki mangsa musnah sepenuhnya.

Komander Operasi, PBK I Robinson Anyie Danyin memaklumkan, terdapat seorang lelaki masih berada di dalam kenderaan ketika kebakaran sedang marak, namun gagal diselamatkan.

“Mangsa dikenali sebagai Roy Hakimi Arikan @ Ariken, 40 tahun, disahkan rentung di lokasi kejadian.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada jentera, selain mendapatkan bantuan lori lain untuk mengalihkan kenderaan berat yang terlibat,” katanya.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas api dipadam sepenuhnya sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Punca kemalangan dan kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Terdahulu, BBP Lopeng menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.31 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.59 pagi.

Turut berada di lokasi ialah Ketua Balai BBP Lopeng, TPgB II Masidi Taha, serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.