Campuran biodiesel B15 dilaksana secara berperingkat

Pelaksanaan peningkatan campuran biodiesel B15 akan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi sedia ada. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 April — Pelaksanaan campuran biodiesel B15 akan dibuat secara berperingkat bagi mengelakkan gangguan terhadap operasi sedia ada dalam industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan adunan boleh dari B10 ke B15 jika pusat adunan boleh disusun tanpa penaiktarafan infrastruktur, tetapi perlu dilakukan secara progresif.
  • Tahap lebih tinggi seperti B20 dan B30 memerlukan pelaburan dan penaiktarafan infrastruktur.
  • Kerajaan mulakan peningkatan daripada B10 ke B15 bermula B12 tanpa kos tambahan susulan krisis tenaga global.
  • Langkah ini menjamin ketersediaan diesel lebih lama dan mengurangkan kebergantungan import bahan api fosil.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu penting memandangkan aspek operasi, khususnya di pusat adunan, perlu disusun dengan teliti tanpa menjejaskan rantaian bekalan semasa.

“Sekiranya dari segi penyusunan operasi di pusat-pusat adunan in tanpa melibatkan penaiktarafan infrastruktur, blending itu boleh dinaikkan daripada B10 ke B15. Tetapi benda itu perlu dilakukan secara progresif, berperingkat-peringkat untuk memastikan operasi sedia ada tidak terganggu.” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan ke Ladang Cili IPR-INTAN di Putrajaya.

Tambah beliau, sekiranya negara berhasrat meningkatkan campuran kepada tahap lebih tinggi seperti B20 dan B30, pelaburan serta penaiktarafan infrastruktur perlu dilaksanakan.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan, susulan krisis tenaga global.

Langkah itu bertujuan menjamin ketersediaan bekalan diesel negara bagi tempoh lebih panjang, selain mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan api fosil dan ketidaktentuan pasaran global.

Dalam masa sama, beliau menegaskan penstrukturan semula ekonomi menerusi peralihan kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mengadakan lawatan bersama Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ke sebuah fasiliti di Pelabuhan Klang esok bagi menilai kesiapsiagaan penghasilan biodiesel.

Fasiliti berkenaan difahamkan milik KL-Kepong Oleomas Sdn Bhd, syarikat pengilangan oleokimia di bawah Kumpulan Kuala Lumpur Kepong Berhad.