Bot Rohingya karam di Laut Andaman, 250 masih hilang

Gambar hiasan

DHAKA, 15 April – Seorang mangsa terselamat menceritakan detik cemas selepas sebuah bot membawa pelarian Rohingya karam di Laut Andaman, mengakibatkan kira-kira 250 individu masih hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot berlepas dari Teknaf ke Malaysia, karam minggu kedua April akibat laut bergelora, angin kencang dan keadaan sesak melampau.
  • Penumpang dipaksa bersembunyi dalam ruang simpanan sempit; ramai kekurangan oksigen dan sekurang-kurangnya 30 maut akibat sesak nafas.
  • Bangladesh menempatkan kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya; bantuan makanan merosot kepada AS$7 sebulan, sokongan jangka panjang diperlukan.

Insiden itu melibatkan bot yang berlepas dari Teknaf, selatan Bangladesh menuju ke Malaysia sebelum karam pada minggu kedua April akibat laut bergelora, angin kencang serta keadaan sesak melampau, menurut agensi pelarian dan migrasi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Seorang mangsa, Rafiqul Islam berkata hampir 300 individu termasuk wanita dan kanak-kanak berada dalam bot berkenaan, selain kru dan individu dipercayai penyeludup manusia.

“Kami hampir tidak mempunyai oksigen. Ramai tidak dapat bernafas,” katanya, sambil mendedahkan sekurang-kurangnya 30 orang maut akibat sesak nafas sebelum bot itu karam.

Menurutnya, penumpang dipaksa bersembunyi dalam ruang simpanan sempit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa sepanjang perjalanan yang mengambil masa empat hari empat malam.

Apabila bot terbalik, ratusan penumpang tercampak ke laut dengan hanya sebilangan kecil berjaya diselamatkan.
Islam antara yang terselamat selepas diselamatkan sebuah kapal minyak Bangladesh bersama tiga mangsa lain sebelum kru menemui beberapa lagi individu di laut.

Tragedi itu sekali lagi menonjolkan keputusasaan pelarian Rohingya yang terus mempertaruhkan nyawa dalam perjalanan laut berbahaya ke negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Bangladesh kini menempatkan kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya, kebanyakannya melarikan diri daripada keganasan di Myanmar sejak 2017.

Dalam pada itu, laporan International Rescue Committee (IRC) mendapati hanya dua peratus ibu bapa Rohingya optimis terhadap masa depan anak mereka, manakala bantuan makanan kini berkurang kepada sekitar AS$7 seorang sebulan.

Keadaan itu turut menyaksikan hampir 69 peratus kanak-kanak tercicir daripada pendidikan, selain ramai terpaksa bekerja bagi membantu keluarga.

Agensi bantuan menggesa sokongan jangka panjang dipertingkatkan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih serius melibatkan pelarian dan komuniti setempat. – REUTERS