Australia peroleh tambahan 100 juta liter diesel dari Brunei dan Korea Selatan

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April – Australia berjaya memperoleh bekalan tambahan kira-kira 100 juta liter diesel dari Brunei dan Korea Selatan sebagai usaha mengukuhkan simpanan bahan api negara itu yang terjejas akibat perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Albanese mengumumkan kerajaan mengamankan diesel tambahan melalui dua penghantaran luar negara.
  • Perolehan itu sebahagian daripada langkah strategik di bawah kuasa simpanan baharu kerajaan.
  • Kebakaran di kilang penapis utama dekat Melbourne boleh memburukkan lagi gangguan bekalan bahan api.
  • Australia kini mempunyai simpanan petrol kira-kira 38 hari, jauh di bawah piawaian IEA 90 hari; pengguna digesa berjimat dan guna pengangkutan awam.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata perolehan itu melibatkan dua penghantaran utama yang merupakan sebahagian daripada langkah strategik di bawah kuasa simpanan baharu kerajaan.

“Saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan saya telah mengamankan tambahan 100 juta liter diesel menerusi dua penghantaran. Satu dari Brunei, lokasi saya berada semalam, dan satu lagi dari Korea Selatan,” katanya dalam satu sidang media disini hari ini.

Pengumuman itu dibuat Albanese ketika dalam rangka lawatan rasmi untuk bertemu rakan sejawatannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperkukuh hubungan tenaga antara kedua-dua negara.

Langkah berkenaan juga dilihat amat kritikal memandangkan sebuah kilang penapis minyak utama di luar Melbourne baru sahaja dilanda kebakaran semalaman, yang dikhuatiri akan memburukkan lagi gangguan bekalan bahan api di negara berkenaan.

Setakat ini, Australia dilaporkan hanya memiliki simpanan petrol untuk tempoh kira-kira 38 hari, jauh di bawah tahap minimum 90 hari yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).

Meskipun kerajaan Australia masih belum melaksanakan catuan bahan api, pengguna telah digesa untuk menjimatkan penggunaan petrol dan beralih kepada pengangkutan awam jika perlu.

Seperti kebanyakan negara di Asia dan Pasifik Selatan, Australia sangat bergantung kepada bekalan minyak yang melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, laluan air penting itu kini terjejas sepenuhnya sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu. – AFP