
TEHRAN, 16 April — Kerajaan Iran mengesahkan belum ada sebarang tarikh ditetapkan bagi pusingan baharu rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS), meskipun terdapat usaha berterusan melalui pihak penaja, Pakistan.
- Iran sedia bincang syarat pengayaan uranium tetapi kekalkan hak tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.
- Iran nafikan dakwaan memiliki program senjata nuklear, sifatkan kenyataan AS sebagai rekaan dan menakut-nakutkan komuniti antarabangsa.
- Iran tegaskan komitmen terhadap keselamatan pelayaran di Selat Hormuz dan peranan bersama negara pesisir Teluk.
- Gencatan senjata dua minggu di Islamabad gagal capai kata sepakat, mengekalkan ketegangan serantau.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata delegasi dari Pakistan berkemungkinan akan melawat Tehran dalam masa terdekat bagi membincangkan proses rundingan tersebut dengan lebih terperinci.
“Rundingan sedang diteruskan menerusi pengantaraan Pakistan.
“Dan kita perlu melihat sejauh mana keseriusan pihak lawan terhadap dakwaan diplomasi yang mereka utarakan. AS perlu membuktikan keikhlasan mereka,” katanya pada Rabu.
Mengulas isu nuklear, Baghaei menyatakan Iran sedia membincangkan syarat pengayaan uranium dengan AS.
Namun tetap bertegas mempertahankan hak untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan keamanan.
Beliau turut menafikan dakwaan AS bahawa Iran memiliki program senjata nuklear dan menyifatkan kenyataan Washington sebagai rekaan semata-mata selain memberi tekanan serta menakut-nakutkan komuniti antarabangsa.
Sementara itu berkaitan situasi di Selat Hormuz dan sekatan maritim oleh AS terhadap pelabuhan Iran, Baghaei menegaskan bahawa Iran sentiasa komited terhadap keselamatan pelayaran di laluan strategik itu sejak beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perang yang dicetuskan oleh AS dan Israel terhadap Iran telah mengubah landskap keselamatan serantau.
“Selagi AS dan Israel menamatkan peperangan mereka di Timur Tengah, Iran bersama negara-negara pesisir Teluk Parsi mampu menjamin keselamatan perairan ini,” tambahnya.
Konflik yang bermula pada 28 Februari lalu menyaksikan serangan udara AS-Israel selama 40 hari ke atas Iran, yang mengorbankan Pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, beberapa komander kanan tentera serta lebih 3,000 orang awam.
Iran membalas serangan tersebut dengan gelombang peluru berpandu dan dron yang menyasarkan aset Israel serta AS di Asia Barat.
Gencatan senjata selama dua minggu antara kedua-dua pihak yang bermula pada 8 April lalu di Islamabad, Pakistan gagal mencapai sebarang kata sepakat. – REUTERS