Anak Che Guevera dakwa sekatan AS terhadap Cuba cetus krisis kemanusiaan

FOTO REUTERSs

HAVANA, 16 April -Sekatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) terhadap Cuba didakwa mencabuli hak asasi manusia serta memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan di negara pulau itu, kata Aleida Guevara pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aleida Guevara berkata sekatan AS kini berubah dari alat politik kepada krisis kemanusiaan, memencilkan Cuba dari perdagangan global.
  • Sekatan menghalang syarikat farmaseutikal menjual ubat ke Cuba, langsung menjejaskan kesihatan awam.
  • Cuba menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak 1990-an; gangguan elektrik dan kekurangan bahan api menjejaskan hospital serta pengangkutan.
  • Sejak Januari, pentadbiran Trump kenakan sekatan minyak baru dan ancaman ketenteraan, meningkatkan tekanan ke atas Havana.

Aleida, yang juga anak kepada bekas pemimpin revolusi terkenal Ernesto “Che” Guevara, menyifatkan sekatan yang dikenakan sejak puluhan tahun itu kini telah berubah daripada alat politik kepada krisis kemanusiaan yang memencilkan Cuba daripada perdagangan global.

“Sekatan ini adalah antara perkara paling buruk yang boleh dialami oleh sesebuah negara, menyebabkan penderitaan yang teruk kepada rakyat Cuba selama bertahun-tahun.

“Embargo (sekatan) ini sepatutnya tidak melibatkan makanan dan ubat-ubatan, tetapi keperluan asas itulah yang paling terjejas dahulu.

“Akibatnya, kami berdepan kekurangan bekalan yang berterusan selama bertahun-tahun,” katanya dalam satu temu bual di luar persidangan solidariti antarabangsa di sini.

Aleida, yang bertugas sebagai pakar pediatrik di sebuah hospital kanak-kanak di Havana, mendedahkan bahawa sekatan AS menghalang syarikat farmaseutikal daripada menjual ubat-ubatan ke Cuba, sekali gus memudaratkan kesihatan awam secara langsung.

Beliau menyifatkan tindakan Washington yang kononnya dilakukan atas nama demokrasi dan hak asasi manusia, sebenarnya telah mencetuskan krisis kemanusiaan yang tidak boleh diterima.

“AS cuba menghalang negara lain di dunia daripada menjalankan perdagangan bebas dengan Cuba.

“Ini merosakkan setiap aspek kehidupan kami termasuk pengangkutan dan bekalan makanan,” tambahnya.

Embargo terhadap Cuba bermula lebih setengah abad lalu dan dikodifikasikan secara rasmi oleh Presiden John F. Kennedy pada tahun 1962 melalui perintah eksekutif yang melancarkan sekatan ekonomi, komersial, dan kewangan.

Kini, Cuba sedang berdepan krisis ekonomi terburuk sejak 1990-an dengan kejadian gangguan bekalan elektrik di seluruh negara sebanyak tiga kali pada Mac lalu, selain kekurangan bahan api yang menjejaskan operasi hospital dan pengangkutan awam.

Sejak Januari, pentadbiran Trump dilaporkan telah mengenakan sekatan minyak baharu dan berulang kali mengeluarkan ancaman ketenteraan, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Havana.

Kenyataan Aleida Guevara itu membawa simbolik besar memandangkan legasi bapanya, “Che” Guevara, yang merupakan seorang doktor perubatan sebelum menyertai pemberontakan Fidel Castro pada 1956 untuk menggulingkan diktator Fulgencio Batista.

Beliau terkorban di Bolivia pada tahun 1967 selepas meneruskan perjuangan revolusi di luar negara. – REUTERS