Konflik Asia Barat tekan pertumbuhan ekonomi global – IMF

Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva – Foto AFP

WASHINGTON, 16 April – Konflik di Iran sedang mendorong kenaikan harga serta menekan pertumbuhan ekonomi global, yang dijangka menyederhana daripada 3.4 peratus tahun lalu kepada 3.1 peratus menjelang 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik di Timur Tengah menaikkan harga, mengganggu rantaian bekalan dan melemahkan pertumbuhan ekonomi global.
  • IMF memberi amaran hutang awam meningkat ke tahap membimbangkan, mengurangkan ruang fiskal untuk menangani kejutan ekonomi.
  • Gangguan Selat Hormuz dan lonjakan kos tenaga serta baja memperbesar risiko bagi negara berpendapatan rendah, terutamanya Afrika Sub-Sahara.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva memberi amaran bahawa dunia perlu bersedia menghadapi masa sukar.

“Kerentakan infrastruktur yang meluas serta gangguan rantaian bekalan sedang menaikkan harga dan memperlahankan pertumbuhan global daripada 3.4 peratus tahun lalu kepada 3.1 peratus pada 2026,” katanya dalam satu temu bual di Washington pada Rabu.

Georgieva turut memberi peringatan bahawa konflik berpanjangan di Timur Tengah boleh menurunkan lagi pertumbuhan kepada serendah 2 peratus.

“Jika konflik berterusan dan harga minyak kekal tinggi untuk tempoh yang panjang, kita mesti bersedia menghadapi masa sukar pada masa hadapan,” katanya sambil menambah bahawa kejutan tersebut bersifat global.

Beliau menegaskan bahawa situasi semasa berbeza berbanding pandemik COVID-19 kerana kesan terkumpul daripada pelbagai kejutan yang berlaku berturut-turut, yang turut mendorong hutang awam ke paras membimbangkan.

“Hutang awam global dijangka melepasi 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2029, satu tahap yang tidak pernah dilihat sejak selepas World War II,” katanya.

Dalam pada itu, IMF komited membantu negara anggotanya mengharungi landskap ekonomi yang kompleks ini, dengan jangkaan permintaan sokongan kewangan antara AS$20 bilion hingga AS$50 bilion dalam tempoh terdekat.

Tambah beliau, kebanyakan negara di Afrika Sub-Sahara kini berada dalam keadaan terdedah dari segi ekonomi.

Ketua IMF itu turut menyatakan bahawa walaupun perang berakhir serta-merta, gangguan rantaian bekalan dijangka berterusan selama beberapa minggu.

“Ia boleh mengambil masa sehingga 40 hari untuk sebuah kapal tangki sampai ke Fiji, justeru kita perlu bersedia bahawa kesan gangguan bekalan dalam beberapa minggu akan datang akan menjadi lebih mendalam,” katanya.

Beliau menambah bahawa keadaan ini juga boleh menyebabkan kenaikan harga makanan berikutan peningkatan mendadak kos baja, sekali gus menjadikan kawasan berpendapatan rendah seperti Afrika Sub-Sahara dan sebahagian Asia lebih terdedah.

Konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran turut menjejaskan rantaian bekalan susulan penutupan Selat Hormuz, laluan utama perdagangan tenaga global.

Transit kapal dilaporkan merosot daripada kira-kira 130 sehari pada Februari kepada hanya enam pada Mac, iaitu penurunan sekitar 95 peratus.

Sementara itu, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) menyatakan kira-kira 3.4 bilion penduduk dunia, tinggal di negara yang telah membelanjakan lebih banyak untuk membayar hutang; berbanding sektor kesihatan atau pendidikan, sekali gus mengehadkan keupayaan untuk menyerap kejutan baharu.