Chile sasar pertumbuhan 4% menerusi pelan ekonomi baharu

Presiden Chile, Jose Antonio Kast /AFP

SANTIAGO, 16 April — Presiden Chile, Jose Antonio Kast, pada Rabu membentangkan kerangka pelan “pembinaan semula” negara berkenaan bertujuan mendepani cabaran semasa serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pengeluar tembaga terbesar dunia itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyasarkan pertumbuhan ekonomi sekitar 4% setahun melalui pakej rang undang-undang pemulihan ekonomi.
  • Rang undang-undang mengandungi lebih 40 langkah strategik di bawah lima tonggak utama, termasuk daya saing cukai dan kepastian undang-undang.
  • Pengurangan kadar cukai korporat berperingkat kepada 23% dan penyatuan sistem cukai untuk menghapuskan cukai dua kali, menarik pelaburan asing.

Menerusi ucapan yang disiarkan di radio dan televisyen, pemimpin berhaluan kanan itu menjelaskan bahawa pakej perundangan yang akan dihantar ke Kongres itu merangkumi langkah-langkah strategik seperti pengurangan kadar cukai korporat dan peruntukan kestabilan cukai.

Kerajaan sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap tahap pertumbuhan ekonomi yang rendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan berjanji untuk melonjakkan kadar pengembangan ekonomi kepada sekitar 4 peratus setahun.

Rang Undang-Undang yang dikenali sebagai “Pembinaan Semula serta Pembangunan Ekonomi dan Sosial” itu mengandungi lebih 40 langkah strategik yang disusun di bawah lima tonggak utama: daya saing cukai, pengukuhan guna tenaga, pemudah cara permit, kepastian undang-undang, dan kawalan perbelanjaan.

Antara intipati utama cadangan tersebut adalah pengurangan kadar cukai korporat secara berperingkat kepada 23 peratus daripada kadar semasa iaitu 27 peratus, selain menyatukan semula sistem cukai bagi menghapuskan percukaian dua kali.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan memastikan Chile kekal kompetitif di peringkat global sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor perlombongan dan pembangunan sosial. -REUTERS