
KYIV, 16 April — Sekurang-kurangnya lima nyawa termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Rusia dan Ukraine, menurut kenyataan rasmi daripada kedua-dua negara pada Khamis.
- Serangan udara dan dron berterusan antara Rusia dan Ukraine, dengan Kyiv membalas secara rutin.
- Serangan menyebabkan kematian dan kecederaan warga awam termasuk kanak-kanak, serta kerosakan bangunan dan kenderaan.
- Amaran peluru berpandu memaksa penduduk berlindung sementara pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari runtuhan.
Moscow dilaporkan telah melancarkan ratusan dron ke arah Ukraine hampir setiap malam sejak permulaan perang empat tahun lalu, manakala Kyiv secara rutin membalas dengan serangan ke dalam wilayah Rusia sebagai tindak balas.
Di Ukraine, Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko memaklumkan menerusi aplikasi Telegram bahawa serangan musuh di ibu negara telah mengorbankan dua mangsa, iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun.
Sementara itu, di bandar Dnipro yang terletak di bahagian tengah Ukraine, seorang lagi individu dilaporkan terbunuh manakala kira-kira 10 yang lain cedera, menurut Ketua Pentadbiran Wilayah, Oleksandr Ganzha.
Di pihak Rusia pula, Gabenor wilayah Krasnodar Krai, Veniamin Kondratyev mengesahkan dua kanak-kanak berusia lima dan 14 tahun maut dalam serangan dron di Tuapse yang menyasarkan bangunan kediaman.
“Serangan dron pengganas ke atas bangunan kediaman di Tuapse telah meragut nyawa dua kanak-kanak bawah umur,” katanya menerusi Telegram.
Serangan Rusia ke atas Ukraine semalam turut mencetuskan amaran peluru berpandu di ibu negara, memaksa penduduk untuk segera berlindung.
Di daerah Podilsky, anggota penyelamat dilaporkan berjaya mengeluarkan seorang kanak-kanak daripada runtuhan bangunan kediaman yang musnah.
Klitschko menambah bahawa serangan di Kyiv turut mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk beberapa petugas perubatan, selain menyebabkan kebakaran bangunan dan kenderaan di daerah Obolonsky akibat serpihan peluru berpandu yang jatuh.
Dalam perkembangan sama, serangan dron di bandar Kharkiv mencederakan seorang wanita warga emas berusia 77 tahun dan seorang lelaki berusia 66 tahun.
Manakala serangan di bandar pelabuhan Odesa menyebabkan lima individu lagi cedera. – AFP