Australia tambah perbelanjaan pertahanan

FOTO REUTERS

CANBERRA, 16 April – Australia bakal meningkatkan dana pertahanannya kepada 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2033.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Pertahanan Richard Marles kata norma antarabangsa yang mengehadkan penggunaan kekerasan kini semakin terhakis, mendorong peningkatan belanjawan pertahanan.
  • Perbelanjaan ditambah Aus$53 bilion dalam 10 tahun dan Aus$14 bilion dalam empat tahun untuk membiayai peningkatan keupayaan.
  • Kerajaan tukar kaedah kira bajet mengikut definisi NATO dan percepat pembinaan limbungan serta persediaan kapal selam nuklear di bawah AUKUS.

Langkah berkenaan susulan peningkatan konflik bersenjata di peringkat global, menurut kerajaan pada Khamis.

Komitmen baharu itu dibuat susulan tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar Canberra memperuntukkan lebih banyak dana ketenteraan sebagai sebahagian daripada pengeluaran ekonomi tahunan negara tersebut.

Menteri Pertahanan, Richard Marles, dalam satu teks ucapan berkata norma antarabangsa yang sebelum ini mengehadkan penggunaan kekerasan dan paksaan ketenteraan kini dilihat semakin terhakis.

“Lebih banyak negara terlibat dalam konflik hari ini berbanding bila-bila masa sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, dan perkara ini berlaku merentasi setiap rantau di dunia,” katanya.

Sebelum ini, perbelanjaan pertahanan Australia diunjurkan meningkat kepada 2.3 peratus daripada KDNK menjelang 2033.

Sasaran terbaharu itu bermakna Australia akan membelanjakan tambahan sebanyak Aus$53 bilion (RM164.7 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding tahun 2024, menurut pegawai Jabatan Pertahanan.

Bagi tempoh jangka pendek, perbelanjaan dijangka meningkat sebanyak tambahan Aus$14 bilion dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, bagi mencapai sasaran 3.0 peratus itu, Australia telah menukar kaedah pengiraan bajet pertahanannya agar selari dengan definisi NATO yang turut merangkumi faktor lain seperti pencen ketenteraan.

Antara projek ketenteraan utama termasuk mempercepatkan pembinaan limbungan pembinaan kapal besar di Australia Barat bagi menyelenggara kapal selam berkuasa nuklear di bawah perjanjian pertahanan AUKUS bersama Amerika Syarikat dan Britain.

Di bawah perjanjian AUKUS, AS dan Britain akan memindahkan keupayaan kapal selam berkuasa nuklear kepada tentera laut Australia. – AFP