28 maut dalam kebakaran kilang kasut di China

Kebakaran melibatkan sebuah kilang kasut di bandar Jinjiang, wilayah Fujian, China.

BEIJING, 9 Julai — Sekurang-kurangnya 28 orang maut dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang kasut di bandar Jinjiang, wilayah Fujian, timur China, menurut media kerajaan, ketika puluhan anggota bomba dan penyelamat dikerahkan untuk memadamkan kebakaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Timbul kebimbangan masih ada individu terperangkap di dalam bangunan kilang di Jinjiang, wilayah Fujian.
  • Rakaman CCTV menunjukkan anggota bomba menyembur air, dengan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari bangunan bertingkat.
  • Kementerian Pengurusan Kecemasan mengerahkan 183 anggota dan 35 kenderaan ke lokasi; usaha mencari dan memadam diteruskan.
  • Presiden Xi menggesa usaha mencari dipertingkatkan, punca dikenal pasti dan mereka yang bersalah dihukum dengan tegas.

Beberapa jam selepas kebakaran tercetus di kilang Huiteng Shoes sekitar tengah hari, timbul kebimbangan bahawa masih terdapat individu yang terperangkap di dalam bangunan.

Presiden Xi Jinping berkata kebakaran itu mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar, manakala agensi berita Xinhua kemudian melaporkan angka awal korban seramai 28 orang.

Rakaman yang dikongsi stesen televisyen kerajaan, CCTV menunjukkan anggota bomba menyembur air menggunakan hos ke bahagian luar dan dalam sebuah bangunan putih bertingkat, dengan asap hitam tebal berkepul-kepul keluar dari bangunan itu.

Beberapa individu dilihat berlindung berhampiran tingkap dan di atas bumbung bangunan, ketika api terus marak di tingkat-tingkat bawah.

Kementerian Pengurusan Kecemasan dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan bomba dan penyelamat mengerahkan 183 anggota serta 35 kenderaan ke lokasi kejadian.

Xi, dalam kenyataan yang disiarkan Xinhua, berkata insiden itu mengakibatkan “kehilangan nyawa yang besar” dan menggesa usaha mencari dan menyelamat dipertingkatkan.

Siaran langsung CCTV menunjukkan bangunan yang rentung dengan asap kelabu tebal keluar dari tingkap yang pecah.

“Punca kemalangan perlu dikenal pasti secepat mungkin dan mereka yang bersalah mesti dihukum dengan tegas,” kata Xi.

Kementerian Pengurusan Kecemasan berkata kebakaran masih dipadamkan dan mengarahkan usaha habis-habisan dilakukan bagi mengawal api, mencari mangsa yang masih terperangkap serta merawat mereka yang cedera.

Menurut Xinhua, terdapat mangsa yang masih terperangkap dan gagal dihubungi.

China melancarkan kempen menangani risiko kebakaran di bangunan tinggi pada November lalu selepas kebakaran besar memusnahkan beberapa blok kediaman bertingkat di Hong Kong, mengorbankan 168 orang.

Sebulan kemudian, berlaku kebakaran di sebuah bangunan kediaman di wilayah Guangdong, selatan China, meragut 12 nyawa. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.