AS didakwa serang kawasan sekitar loji tenaga nuklear Bushehr

Beberapa kawasan di Wilayah Bushehr menjadi sasaran, termasuk perimeter loji tenaga nuklear

TEHRAN, 9 Julai – Amerika Syarikat menyasarkan kawasan perimeter satu-satunya loji tenaga nuklear awam Iran dalam satu serangan pada Khamis, menurut media kerajaan Iran yang memetik Timbalan Gabenor Wilayah Bushehr.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa kawasan di Wilayah Bushehr dilaporkan diserang, termasuk pangkalan tentera di Choghadak dan sebuah jeti nelayan; tiada laporan kemalangan jiwa.
  • Penduduk Choghadak, kira-kira 20 kilometer dari loji Bushehr, melaporkan terdengar beberapa letupan.
  • IAEA memberi amaran April lalu bahawa serangan berhampiran loji menimbulkan risiko keselamatan nuklear dan mesti dihentikan.
  • Loji Bushehr dibina dengan bantuan Rusia; satu reaktor beroperasi, dua lagi dalam pembinaan, dan Rusia memindahkan kakitangannya.

“Beberapa kawasan di Wilayah Bushehr menjadi sasaran hari ini, termasuk perimeter loji tenaga nuklear, sebuah pangkalan tentera di bandar Choghadak dan sebuah jeti nelayan di selatan wilayah itu,” kata Ehsan Jahanian sambil menambah bahawa setakat ini tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Kejadian itu berlaku selepas penduduk Choghadak, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari loji tenaga nuklear Bushehr, melaporkan terdengar beberapa letupan.

Sebelum ini, beberapa serangan turut dilaporkan berlaku berhampiran loji tenaga berkenaan sepanjang konflik di Asia Barat.

Pada April, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberi amaran bahawa serangan berhampiran loji itu menimbulkan risiko yang sangat nyata terhadap keselamatan nuklear dan mesti dihentikan.

Loji tenaga itu, yang dibina dengan bantuan Rusia, mempunyai sebuah reaktor yang sedang beroperasi manakala dua lagi masih dalam pembinaan.

Rusia telah memindahkan kakitangannya dari lokasi itu semasa konflik berlaku.

Pertubuhan pemantau bukan berasaskan keuntungan, ACLED, melaporkan empat serangan berlaku berhampiran loji tersebut sepanjang konflik. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.