Tokti alami kecederaan ringan, kemalangan empat kenderaan

Kemalangan melibatkan Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza di Lebuhraya MEX/ tangkap layar video orang awam

KUALA LUMPUR, 16 April – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insiden berlaku ketika pulang selepas persembahan di majlis syarikat penerbangan di Sepang.
  • Pengurus Rozi Abdul Razak memaklumkan menerusi hantaran media sosial, menyatakan kereta Siti dan keretanya terlibat; rakan berada beberapa kenderaan di belakang.
  • Siti dibawa ke hospital, mengalami lebam dan bengkak pada bahagian kaki; keadaannya stabil dan hanya cedera ringan selepas rawatan.

Menerusi hantaran di media sosial pengurus beliau, Rozi Abdul Razak memaklumkan insiden tersebut berlaku ketika penyanyi itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di sebuah majlis syarikat penerbangan di Sepang.

“Empat kereta terlibat termasuk kereta yang dinaiki Siti dan kereta dinaiki saya, manakala seorang lagi rakan berada beberapa kenderaan di belakang.

“Siti telah dibawa ke hospital. Dia mengalami lebam dan bengkak pada bahagian kaki. Alhamdulillah, segalanya selamat,” menurut perkongsian itu.

Difahamkan, keadaan penyanyi yang mesra disapa Tokti itu stabil dan hanya mengalami kecederaan ringan selepas menerima rawatan lanjut di hospital.

Terdahulu, perkongsian di media sosial memaparkan keadaan di lokasi kejadian menarik perhatian ramai, sekali gus mencetuskan kebimbangan peminat terhadap keadaan penyanyi tersohor negara itu.