UPM dominasi Malam Irama Nasyid MAKUM 2026

Kumpulan nasyid UPM, dinobatkan sebagai johan keseluruhan pertandingan Malam Irama Nasyid MAKUM 2026/FotoUPM

SERDANG, 16 April – Kumpulan nasyid dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Putra Nahwan, dinobatkan sebagai johan keseluruhan dalam pertandingan Malam Irama Nasyid, Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan besar terhadap usaha, komitmen dan dedikasi kumpulan dalam memartabatkan seni nasyid di peringkat universiti.
  • Kejayaan memperkukuh imej universiti seimbang akademik dan pembangunan sahsiah serta simbol sinergi PKKSSAAS dan BHEP.
  • Persediaan rapi meliputi latihan vokal, harmoni, kawalan pentas dan pemilihan lagu; kerjasama dengan komposer Wan Saleh meningkatkan impak persembahan.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Insof manakala tempat ke tiga, dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Intracksee.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, Husalshah Rizal Hussian kemenangan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar terhadap usaha, komitmen dan dedikasi kumpulan dalam memartabatkan seni nasyid di peringkat universiti awam.

“Kemenangan ini bukan sahaja melambangkan keunggulan bakat mahasiswa, malah membuktikan bahawa seni budaya mampu menjadi medium dakwah yang berkesan serta platform pembangunan sahsiah pelajar.

“Secara keseluruhan, kejayaan ini memperkukuh imej universiti sebagai institusi yang seimbang dalam aspek akademik dan pembangunan sahsiah melalui kesenian, di samping menjadi simbol kejayaan sinergi antara PKKSSAAS dan BHEP dalam melahirkan pelajar yang holistik dan berdaya saing,” katanya.

Kejayaan itu juga hasil persediaan rapi termasuk latihan intensif yang konsisten dari segi vokal, harmoni, kawalan pentas serta penghayatan lirik.

“Aspek pemilihan lagu, susunan muzik yang kreatif serta konsep persembahan turut diberi penekanan bagi memastikan kelainan dan impak kepada juri serta penonton.

“Kami juga bertuah dapat bekerjasama dengan komposer terkenal, Wan Saleh yang juga alumni Putra Nahwan, di mana hasil karya beliau memberi impak besar kepada persembahan kumpulan ini,” tambahnya.

Pertandingan anjuran MAKUM dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi itu menghimpunkan kumpulan nasyid terbaik dari universiti awam di seluruh negara, berlangsung pada Selasa lalu.