Solo, Jawa Tengah dilanda banjir ‘merah’

Orang ramai meredah air berwarna merah di kawasan perumahan terjejas di di Solo, Jawa Tengah, Indonesia/Viory

JAWA TENGAH, 20 April- Bandar Solo di Jawa Tengah, Indonesia dilanda banjir berwarna merah selepas hujan lebat melanda kawasan itu, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai Jabatan Air menemui plastik berisi pewarna pakaian; kepekatan tinggi dipercayai menyebabkan perubahan warna air banjir.
  • Penduduk berkata pewarna itu sudah lama ada di lokasi; tiada tanda awal bahaya dan kanak-kanak masih bermain dalam air.
  • Pihak pengurusan bencana berkata kawasan rendah seperti Solo kerap banjir semasa musim hujan November hingga April.

Pegawai Jabatan Air tempatan, Bambang berkata siasatan awal mendapati perubahan warna air itu berpunca daripada bahan pewarna pakaian yang telah bercampur dengan air banjir.

“Pagi tadi (17 April 2026) kami datang untuk memeriksa pintu air… kami dapati airnya berwarna merah,” katanya.

“Kami kemudian menemui plastik mengandungi pewarna pakaian. Disebabkan jumlahnya yang banyak dan kepekatannya tinggi, air banjir bertukar menjadi merah sekata,” jelas beliau.

Sementara itu, penduduk tempatan, Rusid berkata bahan pewarna tersebut dipercayai telah lama berada di kawasan itu sebelum kejadian banjir berlaku.

“Pewarna itu sebenarnya sudah lama ada di situ. Apabila banjir berlaku, air secara semula jadi menjadi merah,” katanya.

Rusid berkata tiada tanda awal bahaya dilaporkan walaupun keadaan air kelihatan luar biasa.

“Kanak-kanak tadi masih bermain dalam air… semuanya dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut pihak pengurusan bencana Indonesia, kawasan rendah seperti Solo sering dilanda banjir terutama ketika musim hujan antara November hingga April. -Viory